GANGSA turut dijadikan bahan untuk hasilkan candelier.
PINGGAN dan mangkuk yang dihasilkan menggunakan gangsa.
myMetro

Penggunaan gangsa dalam kehidupan seharian sudah diterapkan sejak zaman dahulu lagi.

Pada zaman dahulu, gangsa digunakan sebagai kelengkapan harian seperti alatan memotong, senjata dan bahan binaan.

Logam penting ini adalah aloi terdiri daripada tembaga dan timah dengan nisbah sembilan bahagian tembaga dan satu bahagian timah, namun kadar itu kadang-kala berbeza.

Campuran dua bahan ini menghasilkan logam berwarna perang keemasan dipanggil gangsa. Ketumpatan dan kekerasan logam membenarkan logam itu sesuai dengan sebarang acuan, namun perlu dikendalikan dengan berhati-hati.

Secara tidak langsung, proses itu membolehkan pelbagai jenis hiasan daripada gangsa dapat dihasilkan.

Proses acuan yang dikenali sebagai ‘cire perdue’ adalah proses paling primitif dan sering digunakan sepanjang abad. Perkara ini pernah digambarkan Theophilus dan Benvenuto Cellini.

Pada masa sama proses itu turut membolehkan bukan saja hiasan dihasilkan, tapi membantu dalam penghasilan arca dan ia masih digunakan hingga kini.

Malah, terdapat pinggan mangkuk, kutleri dan kelengkapan dapur diperbuat daripada gangsa kerana sifatnya yang tahan lama.

Sebelum kaca permukaan rata dapat dihasilkan, gangsa adalah bahan standard untuk menghasilkan cermin.

Cermin gangsa digunakan secara meluas di Mesir, Roman dan Greek dan bertahan pada sekitar abah ke-18 dan ke-20 sebelum Masihi.

Permukaan cermin gangsa tidak rata dan cembung bagi membolehkan ia memperlihatkan keseluruhan muka pada permukaan yang kecil.

Warna logam yang menarik dan tersendiri itu juga membuatkan gangsa sesuai dijadikan bahan untuk pembuatan kelengkapan rumah serta hiasan peribadi.

Selain lampu, loceng, candelier dan kerusi menggunakan gangsa sebagai bahan utama selain turut dijadikan aksesori seperti keronsang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 8:19 AM