CIKGU Yus tekun mengajar anak muridnya.
TAMPAK selesa.
MEJA palet binaan sendiri.
SUASANA sekeliling bilik darjah yang dihias menarik.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
rencana@hmetro.com.my

Melihat pada gambar mungkin ramai beranggapan ia adalah dekorasi kediaman yang lengkap dengan pelbagai hiasan sampingan.

Namun ia sebenarnya suasana sebuah bilik pendidikan khas di sebuah sekolah di Pulau Pinang yang dihias indah gurunya sendiri demi keselesaan pelajar.

Manggalas tugas sebagai guru Program Pendidikan Khas dan Intergrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan sememangnya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan bukanlah satu tugas yang mudah.

Justeru bagi menerapkan keinginan untuk belajar dalam kalangan murid-murid khas ini, guru-gurunya bertanggungjawab dan mempunyai cara tersendiri bagi mewujudkan aura positif dalam menarik minat muridnya.

Dekorasi ceria dan menarik dengan pelbagai barangan dari IKEA serta kayu palet menjadikan suasana pada bilik Empat Islah yang menempatkan lapan murid khas ternyata berbeza dari bilik darjah biasa.

Suasana yang diwujudkan cukup selesa dan mendamaikan, malah ada di antara ibu bapa murid-murid berkenaan hairan dan pelik apabila anak istimewa mereka teruja pergi ke sekolah biarpun pada hari cuti.

Guru PPKI yang bertanggungjawab dalam mendidik dan menghiasi bilik darjah ini Yusfarahana Yusof, 33, berkata, mendidik anak murid istimewa ini bukan hanya memerlukan kesabaran sebaliknya pengorbanan dalam memastikan mereka juga layak mendapat ilmu pembelajaran setaraf dengan pelajar normal lain.

Menurutnya, bagi memastikan mereka seronok dan fokus dalam pembelajaran, beliau sanggup melabur wang sendiri membeli kelengkapan dan bahan untuk mengubah suai bilik darjah bagi keselesaan pelajarnya.

“Mereka ibarat anak saya sendiri dan sebagai ‘ibu’ sudah pasti saya mahukan memberikan sesuatu yang istimewa kepada mereka.

“Mengubah suai bilik darjah dengan modal dan idea sendiri lebih bermakna buat saya kerana mereka begitu teruja ketika mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.

“Selain pelbagai hiasan binaan sendiri, hasil kreativiti mereka seperti kerja tangan dan lukisan turut digantung pada sudut khas dan ternyata menggamit suasana gembira sesama mereka,”katanya.

Menurut beliau yang selesa dengan panggilan Cikgu Yus, sejak mengubah suai bilik darjah itu Januari tahun lalu, beliau tidak kisah dengan modal yang dikeluarkan kerana baginya pembelajaran ‘anak-anaknya’ itu adalah perkara paling utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 7:41 AM