PRODUK yang dihasilkan sering menggunakan bahan industri seperti kayu dan logam.
REKA bentuk Scandinavian berciri ringkas, minimalis dan mementingkan fungsi.
myMetro

Konsep reka bentuk Scandinavian sinonim dengan gaya penataan bercirikan ringkas dan minimalis.

Reka bentuk ini dikatakan muncul sekitar 50-an dan meluas di lima negara Nordik iaitu Finland, Norway, Sweden, Iceland dan Denmark.

Sarat dengan fungsi, reka bentuk Scandinavian memberi kesan dalam sesebuah ruang tanpa sebarang elemen berat dan mengutamakan keperluan saja.

Penghasilan hiasan halus berkualiti bermula daripada pergerakan seni awal abad ke-20. Frasa reka bentuk Scandinavian berasal daripada rancangan reka bentuk di Amerika Syarikat dan Kanada sekitar 1954 dan 1957.

Mempromosikan ‘cara hidup Scandinavian,’ rancangan itu mempamerkan pelbagai kerja dari pereka Nordik yang menarik, ringkas, halus dan berinspirasikan alam serta iklim utara.

Rekaan estetika itu berkembang beberapa dekad dan mendapat pengaruh kuat seni serta reka bentuk Eropah.

Selain menggabungkan trend yang muncul sekitar awal abad dan tradisi asal Scandinavian.

Reka bentuk Scandinavian sering menggunakan papan lapis, plastik, aluminium bersalut dan keluli mampat atau ‘pressed steel.’

Pada sekitar 1951 hingga 1971, satu anugerah diberi nama ‘The Lunning Prize’ menjadi penanda aras dan pengiktirafan berprestij untuk bidang berkenaan.

Anugerah yang menghargai pereka Scandinavian menonjol itu turut memainkan peranan penting dalam menjadikan reka bentuk Scandinavian sebagai komoditi diiktiraf selain menentukan profil reka bentuk.

Sejak 2006, tradisi anugerah reka bentuk pan-Nordik diteruskan dengan pengiktirafan diberi nama ‘Forum AID Award’ yang dianjurkan setiap tahun oleh majalah Sweden Forum AID.

Gedung perabot dan kelengkapan rumah IKEA ternyata sinonim dengan konsep dan gaya Scandinavian dan semakin diterima termasuk di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 7:36 AM