KEDUDUKANNYA tidak jauh dari Taj Mahal.
TUMPUAN pelancong seluruh dunia.
TANAH di pekarangan istana dikatakan dibawa khas dari Kashmir untuk membentuk taman privasi.
PEMBINAAN di bawah pengendalian Kashim Khan.
KAWASAN halaman dibiarkan lapang dengan rumput menghijau.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my


Tidak jauh dari Taj Mahal, terdapat sebuah kompleks dikenali Agra Fort, Kubu Merah Agra atau Kubu Agra iaitu monumen Mughal atau Mogul abad ke-16 yang tersohor dan menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia. Dulunya, ia sebuah kubu paling penting di India.

Ia antara Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mula dibina Maharaja Mogul, Akbar the Great atau Akbar Agung, di dalam Kubu Agra terdapat sejumlah bangunan termasuk istana dan landskap taman bernilai sejarah.

Terletak di kanan tebing sungai Jamuna ke arah timur bandar Agra, kompleks kubu dan bangunan terbina oleh dinding kukuh dan tebal daripada pasir merah.

Apa dilihat hari ini adalah kompleks muzium yang luas menampilkan binaan istana ilham raja-raja Mogul meliputi Akbar, Jahangir, Shah Jehan dan Aurangzeb.

Bangunannya dikelilingi dua parit besar, namun parit di bahagian luar sudah di tambak menjadi jalan.

Kubu Agra adalah monumen peradaban Islam Mogul dengan sistem pertahanan kukuh, berbentuk separuh bulat dengan dinding gah yang menyembunyikan keindahan serta kemewahan di sebalik tembok kukuh.

Pembinaan dikatakan mengambil masa lapan tahun di bawah pengendalian Kashim Khan iaitu Ketua Pegawai Pemerintah Akhbar dan Gabenor Kabul.

Selepas kejatuhan empayar Mogul Besar, kubu Agra menanggung banyak kerosakan apabila ditawan Nadir Shah.

Suatu ketika, bangsa Eropah menjadikannya tempat berlindung apabila berhadapan kemarahan golongan Mutineers dan masyarakat patriotik Agra sekitar 1857.

Sebelumnya, kubu itu mempunyai empat pintu utama tapi hanya Pintu Amar Singh dan Pintu Delhi digunakan.

Dua lagi, Water Gate dan Darshani atau Darwaze ditutup terus. Pintu Amar Singh di Selatan kubu dibina Shah Jahan, dinamakan sempena maharaja Jodhpur, Amar Singh Rathore.

Laporan lain menyebut, kompleks itu mempunyai empat gerbang iaitu Gerbang Khirsi menghadap ke sungai, selain Gerbang Delhi dan Lahore yang terkenal serta Gerbang Akbar.

Menarik di dalam adalah istana Jahangir dan Khas Mahal. Istana Jahangir dibentuk oleh bangunan dua tingkat juga daripada pasir merah.

Dinding dan siling bercat warna garang, turut menyelitkan sentuhan keemasan dengan pengaruh Rajput.

Kemudian bangunan itu diubah suai Jahangir yang merobohkan salah satu istana dibina Akbar untuk isterinya yang beragama Hindu, Jodha Bai.

Keempat-empat sisi bangunan mempunyai kegunaan berasingan, sebelah barat menempatkan kuil peribadi, sementara dewan perbincangan di utara dan bilik melukis di selatan.

Istana ini menampilkan gaya seni bina Asia Tengah dan Hindu.

Menara Jasmine, Samman Burj, Musaman Burj, Menara Segi Lapan pula merujuk binaan sama yang indah dikemasi batu bernilai, dibangunkan Jahangir untuk permaisurinya, Noor Jahan yang kemudiannya diubahsuai Shah Jahan untuk Mumtaz Mahal.

Tanah di pekarangan istana dikatakan dibawa khas dari Kashmir untuk membentuk taman privasi, dilingkungi tiga dinding bangunan dua tingkat.

Kawasan halaman dibiarkan lapang, yang kelihatan hanya rumput taman luas menghijau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 7:35 AM