KEKWA Dekfrancofone.
KEKWA Dekaleksandrov.
KEKWA Anastasia Mint.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Industri pembiak­bakaan di Malaysia pada dasarnya masih kecil. Ini dapat dilihat pada jumlah permohonan yang sedikit daripada pembiak baka tempatan diterima setiap tahun.

Sejak Sistem Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan dilaksanakan pada 28 Oktober 2008, terdapat banyak permohonan diterima untuk tahun berikutnya, menandakan pembiak baka bersedia mendaftarkan varieti baru yang dihasilkannya.

Menurut Pengarah Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian, Siti Saudah Hassim, bukan saja pemohon tempatan, malah turut membabitkan negara luar termasuk Belanda, Jepun dan Australia.

“Pada 2009, sebanyak tujuh permohonan bagi varieti tanaman bunga orkid dan kekwa diterima dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Belanda.

“Tahun berikutnya permohonan makin meningkat dari setahun ke setahun dan hingga kini jumlah bagi varieti tanaman bunga adalah 142 permohonan.

“Statistik permohonan pendaftaran varieti baru tumbuhan setiap tahun menunjukkan terdapat permohonan yang tinggi daripada pembiak baka luar negara berbanding pembiak baka dalam negara kita,” katanya.

Siti Saudah berkata, peningkatan ini menunjukkan pembiak baka luar negara sudah mula menyedari adanya sistem perlindungan varieti baru tumbuhan di Malaysia.

Ini memberi kepercayaan kepada negara kita untuk menjamin tanaman mereka dilindungi di Malaysia.

“Sekiranya dilihat dari sudut permohonan mengikut tahun, boleh dikatakan industri pembiakbakaan di negara kita masih kecil dan majoritinya adalah daripada kalangan agensi kerajaan.

“Potensi pasaran di dalam negara yang kecil dan kurangnya keupayaan untuk menembusi pasaran antarabangsa antara faktor kepada situasi sebegini.

“Hal ini menyebabkan tiada lonjakan yang ketara dalam sektor pertanian negara pada masa kini,” katanya.

Walaupun sistem perlindungan varieti baru tumbuhan sudah dilaksanakan, ia dijangka dapat memberi satu landasan dalam merangsang pembangunan industri pembiakbakaan negara.

Namun ketika ini, pertumbuhannya tidak begitu ketara tapi jelas kelihatan adalah peningkatan dalam pelaburan dari syarikat luar negara terutama Belanda dalam industri bunga-bungaan.

“Dijangkakan pada masa akan datang industri pembiakbakaan negara bakal berkembang dan sektor swasta serta ‘government-linked company’ mula berkecimpung untuk memainkan peranan lebih besar berbanding agensi kerajaan yang ketika ini menguasai bidang ini,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:10 AM