BENTUK daunnya seakan daun sirih.
Faizal Zain

Salam deko. Sejak beberapa minggu lalu, saya bercerita berkenaan tanaman hiasan popular dalam kalangan masyarakat kita sama ada untuk menghiasi sudut dalaman atau dijadikan penyeri laman rumah. Jadi minggu ini saya memilih satu lagi tanaman hiasan yang mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

Tumbuhan hijau menjalar yang satu ini sering anda lihat menghiasi taman dan tandas awam, pejabat, ruang kediaman atau pagar dan pintu laman.

Bentuk daunnya seakan-akan daun sirih tetapi ada antaranya jenis bertompok putih, membuatkan tumbuhan hiasan ini digelar sirih gading. Sirih gading atau nama lainnya golden pothos atau money plant menjadi pilihan kerana tahan lasak. Hanya berbekalkan air, sirih gading mampu untuk terus hidup subur dan menjalar hingga ke beberapa meter ukurannya selain dipercayai mempunyai pertumbuhan yang begitu pantas sekali.

Selain keindahannya, sirih gading sering kali dipilih menjadi hiasan kerana keberkesanannya menjadi penyerap kepada wap kimia seperti toksik udara dalam ruang umum yang dikeluarkan elemen tertentu termasuk penutup lantai, bahan pencuci, pelekat dan bahan binaan. Selain itu, daunnya berbentuk hati, bertangkai dan berwarna belang kuning cerah hingga kuning pucat. Daun tumbuh berselang-seling di batangnya. Di habitat asalnya, tanaman ini tumbuh menjalar pada batang pohon lain.

Tanaman ini mampu tumbuh setinggi 20 meter dengan batang berdiameter hingga empat sentimeter. Kemampuan bertahan hidup sirih gading yang luar biasa membuatkan ia mampu menumbuhkan akarnya dari hujung batang yang baru dipotong. Malah, tanaman ini menarik diletakkan di ruang dalaman rumah seperti di dalam balang kaca lutsinar dengan sedikit isian air. Biarkan beberapa minggu supaya dedauannya mula menjalar keluar dari balang dan berjuntaian sedikit.

Cantas bahagian yang terlalu panjang supaya ia tumbuh seimbang. Bagi hiasan halaman pula letakkan pohon ini berhampiran pagar atau tembok yang membolehkan dedaunnya memanjat, sekali gus menghasilkan sentuhan seni taman semula jadi. Daun yang tumbuh sihat dan kelihatan berkilat dan bersinar. Sementara penyelenggaraannya juga tidak sukar.

Jika ditanam di dalam ruang kediaman, ia hanya perlu dikeluarkan sesekali untuk mendapatkan cahaya matahari supaya warna daunnya tetap menarik. Tahukah anda betapa hebatnya sirih gading ini hingga disenaraikan antara 15 tanaman hiasan yang begitu efektif dalam menyerap racun?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:07 AM