JAM mekanikal pertama dunia dicipta di England pada 1386 dan kemudian di Perancis pada tahun 1389.
FUNGSI jam dinding kini bukan sekadar menentukan waktu.
myMetro

Setiap rumah pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua jam dinding untuk kelancaran gerak kerja seharian.

Sejarah jam dikatakan bermula dengan tiga elemen alam iaitu matahari, air dan pasir yang secara tidak langsung menjadi penentu waktu satu ketika dulu.

Menerusi perkembangan teknologi dan penyelidikan, alat pengukur waktu terus berkembang.

Jam mekanikal pertama dicipta di England pada 1386 kemudian di Perancis pada 1389.

Ia ternyata lebih tepat dalam menentukan waktu berbanding tiga elemen alam tadi, namun masih terdapat kekurangan pada peringkat awal pengeluaran iaitu sumber tenaga.

Selepas kejayaan jam mekanikal itu, evolusi terbesar muncul pula sekitar 500 tahun lalu apabila Peyer Heinlein dari Jerman mencipta jam mekanikal moden yang hampir sama dengan jam dimiliki zaman sekarang.

Jika sebelum ini penciptaan jam lebih fokus pada fungsinya saja, namun bermula abad ketujuh manusia lebih mementingkan elemen bentuk jam dinding itu sendiri.

Malah, memiliki jam dinding ketika itu menunjukkan seseorang itu berada dalam kelas tersendiri dan berprestij. Kepelbagaian reka bentuk sering berubah sekitar abad ke-19.

Antara jam popular di seluruh dunia dan terus menjadi sebutan adalah Quartz kerana ia antara jenama mampu milik.

Kini, jam dinding boleh didapati dalam pelbagai bentuk, rekaan dan warna.

Kepesatan teknologi juga mendorong lahirnya evolusi jam dinding digital yang melangkaui fungsi asas sebagai penentu waktu dan penyeri dinding.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:05 AM