TATARIAS gaya rustik Scandinavian menampilkan ciri minimalis dan elegan tapi lebih santai dan selesa.
KERUSI ungu tempahan khas daripada pembuat perabot tempatan ternyata menyuntik kelainan pada dinding berkenaan.
PERABOT berciri Scandinavian tampak ringkas untuk mewujudkan suasana santai buat pengunjung.
WARNA cat kelabu kebiruan lembut serasi dengan perabot putih polos serta sesuai untuk mempamerkan kek perkahwinan yang sarat nilai estetika.
CERMIN kaca yang mempamerkan kek di bahagian hadapan butik diselitkan dengan corak lukisan tangan dan papan tanda kayu.
ZULKIFLEE (kanan) dan Julie menunjukkan satu daripada kek yang dipamerkan di butik kek dan kafe Banker2baker.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Gambaran di bahagiann luaran saja sudah cukup menggamit perhatian dan memperlihatkan sentuhan dekorasi penuh berseni.

Setapak melangkah ke dalam ruang ini ternyata memukau sesiapa saja yang singgah kerana rekaan dalaman juga tampil kelihatan selesa dan elegan.

Sungguh teratur dan kemas, butik kek dan kafe diberi nama Banker2baker ini menampilkan ciri estetika tersendiri dengan sentuhan gaya rustik Scandinavian.

Bagi pemiliknya, Zulkiflee Mawan, 53, dan Julie Haslina Hasan, 33, segala rekaan dalaman adalah idea mereka berdua.

Menurut Zulkiflee, Julie yang juga anak saudaranya gemarkan konsep dan kelengkapan rumah yang diinspirasikan dari Scandinavian.

“Kelengkapan dan perabot adalah pilihan kami sendiri dan kebanyakan idea datang daripada Julie kerana beliau begitu gemarkan konsep Scandinavian selain gemar mendekorasi kediamaannya sendiri.

“Paling menarik dua kerusi tunggal berwarna ungu kami letak di dinding utama kerana ia rekaan istimewa dan tempahan khas daripada pengeluar perabot tempatan,” katanya.

Pernah menetap di Ireland dan sering mendapatkan inspirasi daripada blog serta portal antarabangsa, Zulkiflee dan Julie tidak mengabaikan setiap elemen diterapkan supaya gayanya serasi dengan konsep butik kek itu.

“Kami buat rujukan di blog dan laman web dari Barat bagi mencapai hasil rekaan dalaman rustik Scandinavian

“Gaya penataan Scandinavian mengutamakan unsur minimalis tapi elegan sesuai dengan fungsi ruang butik kek dan kafe ini iaitu menampilkan rekaan kek perkahwinan yang sarat nilai estetika dan mempunyai kelas tersendiri,” katanya.

Malah, ruang pameran cermin kaca yang terletak di bahagian hadapan butik itu turut menyelitkan unsur kesenian dan elemen rustik yang elegan.

“Kami pilih untuk ketengahkan cermin kaca yang besar kerana sesuai untuk pamerkan kek perkahwinan kami yang biasanya tinggi dan bertingkat.

“Melengkapkan pandangan dari luar, kami membuat lukisan tangan pada cermin kaca itu untuk tampilkan keunikan tapi pada masa yang sama tampak lebih rustik selain penggunaan papan tanda kayu,” katanya.

Selain itu, bahagian dinding yang disaluti warna kelabu kebiruan berona pastel turut menempatkan ruang bertingkat khas untuk mempamerkan kek.

Walaupun banyak warna pastel diketengahkan, pemilik turut selitkan warna hijau kebiruan pada dinding utama bagi memberi kelainan dan sudut itu digunakan untuk pengunjung yang ingin santai menikmati minuman serta pencuci mulut disediakan.

Kebanyakan perabot dipilih berasaskan kayu dan antara yang menarik adalah rak piring di bahagian hadapan kaunter kerana ia ditempah khas dan diperbuat daripada kayu pine.

Premis berkeluasan sekitar 840 kaki persegi itu turut menampilkan lantai vinyl dengan rona cerah dan lembut bagi melengkapi serta mewujudkan suasana harmoni untuk keseluruhan ruang.

Pengunjung bukan saja selesa berada di dalam butik kek dan kafe ini, malah dapat bersantai sambil membaca kerana terdapat beberapa sudut dilengkapi bahan bacaan dengan hiasan rustik dan vintaj.

Kunjungi Butik Kek dan Kafe Banker2Baker di 34J-0-9, Jalan Wangsa Delima 6, Seksyen 5 Wangsa Maju atau layari laman FB Banker2baker Cake Boutique dan Instagram @banker2baker untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 7:01 AM