ELEMEN kejur sering menjadi penyeri di kawasan pesisiran air.
AKTIVITI manusia yang seharusnya selari dengan pembangunan landskap.
SUASANA malam di Waterfront Kuching.
PEMANDANGAN di pesisiran air ketika matahari terbenam.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Pembangunan reka bentuk landskap pesisiran air hari ini bukan seperti sedekad lalu dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti perniagaan semata-mata.

Kini pesisiran air di Malaysia sudah banyak berubah wajah dan tampil dengan kepelbagaian fungsi.

Penyelidikan dan kajian reka bentuk lestari bagi pembangunan landskap pesisiran air berwarisan yang dijalankan secara bersama Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Reka Bentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yazid Mohd Yunos dengan arkitek landskap sambilan dan pelajar pasca siswazah doktor falsafah (PhD) UPM, Mohd Amirul Hussain ini turut dikongsi.

“Melihat kepada kepelbagaian fungsi pesisiran air itu sendiri termasuk ruang atau laluan pejalan kaki kini dilengkapi reka bentuk landskap lebih menarik selain turut menghubungkan kafe tempatan yang menghidangkan kulinari masakan tempatan terbaik.

“Kemudahan asas yang disediakan turut membabitkan reka bentuk lebih bersifat pelbagai fungsi untuk keselesaan aktiviti riadah dan rekreasi bagi anda yang berkeluarga, remaja serta kanak-kanak.

“Dalam menjadikan kawasan tarikan utama pelancong, kawasan reka bentuk landskap pesisiran air ini sudah dinaik taraf kepada lebih berkualiti.

“Laluan berbumbung turut disediakan bagi memberi keselesaan kepada pengguna sambil tahap keselamatan pejalan kaki di pertingkatkan dengan pemasangan lampu jalan, pagar sisi pejalan kaki dan kawalan kamera litar tertutup (CCTV),” kata Dr Mohd Yazid.

Tidak dinafikan reka bentuk seni bina elemen landskap kejur dan lembut di pesisiran air antara satu daripada daya tarikan utama pengunjung.

“Pembangunan landskap persisiran air Kuching, Sarawak dan Putrajaya yang dilihat sering mencuri tumpuan pencinta dan penggemar fotografi untuk mengabadikan keindahan serta kecantikan persekitarannya.

“Pencinta warisan dan kebudayaan menjadikan pesisiran air di sungai Melaka sebagai lokasi terbaik untuk ‘bermonolog’ dengan persekitarannya sambil mengabadikan keunikan imej fotografi setempat,” katanya.

Pada masa sama reka bentuk pesisiran air sungai Melaka itu turut diserikan dengan seni jalanan termasuk lukisan mural sarat makna dan berwarna warni menghiasi dinding usang serta lama.

Secara tidak langsung ia menjadi satu daripada elemen tatapan mata pejalan kaki di pesisiran air itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 7:15 AM