ZAITON memenuhi impian untuk memiliki taman di tepi rumahnya.
Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my


Tanah sekangkang kera kalau bijak dimanfaatkan mampu bertukar menjadi taman yang sangat menenangkan, apatah lagi jika dihiasi pelbagai pokok bunga hiasan.

Inilah yang dilakukan bekas olahragawati negara, Datuk Zaiton Othman apabila menjadikan ruang di tepi rumahnya sebagai taman mini dipenuhi kira-kira 200 pokok bunga ros, pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

Zaiton sengaja memilih lot hujung semata-mata untuk merealisasikan impiannya membina sebuah taman mini untuk dijadikan tempat bersantai dan mengambil angin.

Kesibukan sebagai pegawai sukan tidak pernah membataskan minat Zaiton yang suka bercucuk tanam. Lazimnya beliau meluangkan seketika petang dan hujung minggu untuk meneroka taman berkenaan.

“Apabila merancang membeli rumah dulu, saya mahu mewujudkan sebuah taman yang bertemakan bunga ros kerana ia antara bunga kegemaran saya.

“Mungkin taman ini tidaklah terlalu menarik kerana hasil kreativiti sendiri. Lagipun, saya bukanlah pakar dalam seni taman, memadai untuk memberikan ketenangan dan kepuasan tersendiri,” katanya.

Zaiton berkata selain hobi, mengeluarkan peluh dan mencantikkan kawasan rumah, aktiviti itu menjadi terapi untuk melepaskan lelah serta mengurangkan tekanan selepas berdepan dengan pelbagai tugas di pejabat.

“Pulang dari kerja dalam keadaan keletihan dan stres, taman ini menjadikan saya kembali bertenaga serta tenang. Melihat kehijauan pokok serta bunga ros yang pelbagai warna, hilang rasa letih dan tekanan,” katanya.

Bagi Zaiton, melihat pokok yang ditanam membesar, kemudian mengeluarkan hasil memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Apabila tiba musim bunga, suasana bertambah menarik tidak ubah seperti kita menikmati musim bunga di luar negara walaupun cuaca tidak sedingin di sana,” kata Zaiton.

Menurut beliau, berada di dalam taman ini boleh membuatkannya ‘ralit’ sehingga terlupa kepada tugasan lain di rumah.

“Selalunya, kalau ada masa, saya akan mencantikkan pokok yang ditanam ini dengan memangkas serta memotong ranting yang mati. Selain itu, saya membaja dan menyiramnya.

“Tapi jika terlalu sibuk, cukup sekadar membelek dan membelai pokok hiasan ini kerana sebagaimana makhluk lain, saya yakin pokok juga memerlukan belaian,” kata Zaiton.

Selain bunga ros, Zaiton turut menanam pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, mangga, ciku, pulasan, bacang, lemon, belimbing, jambu batu dan asam jawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 7:01 AM