SESUAI dijadikan hiasan dalaman seperti bantal hiasan dan hiasan dinding.
SESUAI dijadikan hiasan dalaman seperti bantal hiasan dan hiasan dinding.
myMetro

Kashmir terkenal antara pengeluar fabrik termasuk pashmina dan sutera.

Sutera Kashmir berbeza dan unik berbanding fabrik sutera lain kerana coraknya yang dikatakan sarat dengan nilai estetika.

Malah, sutera Kashmir mudah dikenali melalui corak yang ditampilkan iaitu geometri dan abstrak dengan warna menarik.

Motif kain yang menarik hasil sentuhan kreatif penduduk Kashmir membuatkan fabrik itu mampu diketengahkan sebagai hiasan dalaman.

Fabrik sutera tahan lasak itu sesuai dijadikan bantal hiasan mahupun hiasan dinding sekiranya pemilik kediaman bijak menterjemahkan kreativiti masing-masing.

Dihasilkan dalam bentuk kain sari sepanjang enam meter dan biasanya menampilkan corak berbeza mengikut bahagian serta setiap bahagian perlu dipotong mengikut ukuran bersesuaian.

Bagi memastikan fabrik itu lebih lembut dan mudah dikendalikan, sebaiknya ia direndam dalam air semalaman bagi menghilangkan kanji pada fabrik itu.

Ia juga campuran sutera dan polimer dan lebih tahan lama.

Tekstur yang kasar dan hangat dikatakan menarik untuk dijadikan pakaian (sari) kerana sesuai dengan iklim di kawasan itu yang sederhana sejuk.

Walaupun ia bukan fabrik sutera mewah, namun penjagaannya masih perlu dititik beratkan dan dibersihkan dengan cermat supaya ia tidak mudah rosak.

Sebaiknya, fabrik itu dibasuh secara manual dan elakkan penggunaan mesin basuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 6:59 AM