LIM (tengah) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan peneraju sektor kewangan pada Forum Malaysia Dalam Era Baru, semalam.
Mohd Anwar Patho RohmanRohaniza IdrisNor Ain Mohamed Radhi dan Nora Mahpar dan Farah Adilla
cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengurangkan pembabitan langsung pemilikan ekuitinya dalam syarikat senaraian awam supaya sektor swasta boleh menerajuinya, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, bagi syarikat senaraian awam, langkah yang diambil itu akan membolehkan purata jumlah dagangan harian yang lebih tinggi di Bursa Malaysia, selain mengukuhkan kecairan pasaran.

“Langkah ini berbentuk serampang dua mata. Kita akan mengukuhkan kuasa sektor swasta dan mengurangkan kesan sekatan yang disebabkan oleh kerajaan.

“Di samping itu, kita dapat merealisasikan nilai aset milik kerajaan secara berperingkat dan menggunakan hasilnya untuk mengecilkan tuntutan hutang,” katanya berucap pada Forum Malaysia Dalam Era Baru anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, semalam.

Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan percaya ‘tanggungjawab kerajaan bukan dalam perniagaan’.

“Justeru, dalam beberapa tahun lagi, anda akan menyaksikan barisan program yang dibentuk sebahagiannya bagi mengukuhkan potensi sebenar sektor swasta.

“Walaupun pentadbiran terdahulu hanya memperkatakan mengenai ekonomi pasaran diterajui sektor swasta, pentadbiran baru akan melaksanakannya. Kami terdengar pelbagai aduan pelabur dan ahli perniagaan bahawa pasaran modal kita tidak terlalu cair dan dikawal beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

“Ini menyebabkan wajaran dalam Pasaran Sedang Membangun MSCI lebih rendah iaitu 2.48 peratus,” katanya.

Sementara itu, berhubung usaha rundingan semula bagi mengurangkan kos keseluruhan projek infrastruktur awam seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Mass Rapid Transit 2 (MRT2), Guan Eng berkata, tindakan itu bukan hanya menjimatkan kos, malah mengurangkan hutang dan liabiliti masa depan kerajaan.

“Kos pembinaan lebih rendah bermakna daya maju sistem pengangkutan awam lebih baik, harga tiket rendah dan trafik penumpang lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:14 AM