MMC Gamuda belum menerima pengesahan penamatan kontraktor bawah tanah bagi projek MRT2.
HM Digital

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan melaksanakan semula tender kerja bawah tanah projek Mass Transit Line 2 (MRT2) bagi kerja yang belum selesai menerusi proses tender terbuka antarabangsa akan menjejaskan lebih 20,000 tenaga kerja.

MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MMC Gamuda) sebagai firma diberikan kontrak bagi kerja bawah tanah berkata, penamatan kontrak MMC Gamuda menjejaskan lebih dari 600 syarikat dari rantaian sokongan terbabit.

Daripada angka itu, lebih daripada 3,000 pekerja terdiri daripada kakitangan MMC Gamuda JV, lebih daripada 60 peratus daripada mereka Bumiputera.

“Hal ini menyebabkan kesulitan kepada sejumlah besar tenaga kerja mahir Malaysia dalam keadaan pasaran kerja yang lembap kini.

“Di samping itu, semakan semula Kementerian Kewangan (MOF) itu membuatkan hanya kontraktor asing saja layak mendapat kontrak kecuali MOF menurunkan paras kelayakan mereka.

“Firma asing dianugerahkan kontrak ini bakal membawa dan menggunakan tenaga kerja mahir mereka sendiri (dari negara asal firma yang dianugerahkan itu),” katanya.

MMC Gamuda berkata, pihaknya belum menerima komunikasi atau pemberitahuan daripada MRT Corp.

“Tiada pengesahan rasmi dari MRT Corp bahawa MMC Gamuda ditamatkan sebagai kontraktor bawah tanah bagi projek MRT2,” kata kenyataan itu.

MMC Gamuda juga katanya, terbuka untuk bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan langkah perlu diambil kedua-dua pihak untuk projek Transit Aliran Massa Laluan 2 (MRT2).

Katanya, langkah kerajaan mengurangkan kos perbelanjaan projek MRT2 bernilai hampir AS$14 billion (RM58.13 bilion) menyebabkan ada jurang perbelanjaan yang menggusarkan.

“Persepsi kami mengenai jurang kos terkini ialah jumlah yang mana tidak boleh dibina. MMC Gamuda percaya matlamat mengurangkan kos oleh MOF perlu dilakukan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan berbanding mengakhiri kontrak dan melonggarkan semula baki kerja bawah tanah.

“Walaupun MOF menyatakan pengurangan ditawarkan RM2.3 bilion tidak mencukupi, tetapi sehingga hari ini mereka (MOF) masih tidak memberi sasaran kos pengurangan dimahukan.

“Jika angka sasaran dibuat bersama, kedua pihak akan mendapat lebih gambaran mengenai penjimatan yang boleh diambil dan mengurangkan perbezaan kos. Selain itu, perlantikan firma perunding kejuruteraan antarabangsa seperti yang dicadangkan oleh MMC Gamuda akan sangat memudahkan pelaksanaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:00 PM