AZMIN (kanan) bersama Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan ketika Forum Megatrends Khazanah, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad dan Ayisy Yusof
bhbiz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) belum membincangkan tindakan untuk melantik ‘orang luar’ sebagai ahli lembaga pengarahnya, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami mengadakan mesyuarat lembaga pengarah sebulan yang lalu. Tiada perbincangan mengenai perkara itu.

“Kami akan terus berbincang mengenai calon sesuai. Khazanah perlukan pasukan profesional bagi menguruskannya,” katanya di luar acara Forum Megatrends Khazanah 2018 di sini, semalam.

Beliau juga berkata, dana kekayaan berdaulat itu memerlukan kehadiran ahli lembaga pengarah yang memahami selok-belok operasi Khazanah.

Berdasarkan laporan media, Khazanah boleh melantik beberapa warga asing untuk menyertainya sebagai ahli lembaga pengarah sebagai sebahagia strategi memanfaatkan pelbagai kepakaran.

Sumber memberitahu pengasas firma kepintaran buatan terbesar dari China berkemungkinan menjadi calonnya, yang juga mempunyai sokongan syarikat E-dagang gergasi dunia, Alibaba.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan perlu meneliti cabaran baru beberapa program pembangunan strategik mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pelaburan hijau.

“Ini adalah isu yang perlu diuruskan oleh Khazanah. Dari sudut komersial, Khazanah terbabit dengan pelbagai syarikat berbeza dalam memastikan pulangan yang baik dan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 10:41 AM