KETUA Pegawai Eksekutif Sterling Red Rozaimi Shafri (kiri) bertukar MoU dengan Pengarah Galoreka Noor Rizki Ahmad sambil diperhatikan Abdul Fattah (dua dari kiri), Dr Hatta (tengah) dan Johan, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

PETALING JAYA: Media Prima Bhd (Media Prima) menerusi Sistem Televisyen Malaysia Bhd (STMB) melancarkan program Usahawan #JOMMASUKTV sebagai usaha merancakkan pembangunan sektor koperasi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB Johan Ishak berkata, program itu bertujuan menggalakkan koperasi bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka menerusi platform televisyen.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, ia akan memperluaskan pasaran mereka dan seterusnya menambah pendapatan selain menjadikan sektor koperasi sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Apabila usahawan koperasi menyertai program ini, ia memberikan peluang kepada mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan yang dilakukan dalam rangkaian televisyen Media Prima merangkumi TV3, NTV7, TV9 dan 8TV.

“Program ini menawarkan pakej menarik dengan kos yang berpatutan selain peluang pembabitan dalam Karnival Jom Heboh dan Anggun Life,” katanya pada sidang media majlis pemeterian memorandum persefahaman (MoU) antara Galoreka Sdn Bhd (Galoreka) dan Sterling Red (Sterling Red) Sdn Bhd di sini, semalam.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramli dan Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menerusi MoU itu, Galoreka akan bekerjasama dengan Sterling Red iaitu rakan strategik kepada ANGKASA dan STMB dalam menggalakkan koperasi untuk mengambil peluang bagi mempromosikan perniagaan mereka di kaca televisyen.

Johan berkata, menerusi platform media berkenaan, ia memberikan usahawan koperasi menarik lebih banyak permintaan dalam kalangan pengguna seluruh negara.

“Kami yakin inisiatif ini membantu usahawan koperasi meneroka segmen pemasaran dan penjenamaan yang lebih meluas sekali gus meningkatkan jualan masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dengan menyertai program itu, ia memberi jaminan terhadap jenama dan memacu perkembangan perniagaan secara proaktif serta bersepadu.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, dengan pertumbuhan sihat dalam sektor koperasi, pihaknya yakin usaha Media Prima ini tepat pada masanya dengan mengambil kira keadaan semasa.

“Malaysia mempunyai 14,000 koperasi yang diwakili enam juta ahli. Ia akan memberi manfaat kepada Media Prima dan pada masa sama, koperasi dapat memperkukuh kedudukan dalam segmen perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:00 AM