LEMAH merancang kewangan menjadi faktor utama gagal bayar pinjaman.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melihat golongan yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 adalah mereka yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan pertumbuhan pinjaman tidak berbayar.

Pengurus Besar AKPK, Azman Hasim berkata, segmen pembiayaan peribadi juga antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan kadar keberhutangan isi rumah itu.

Katanya, AKPK turut menerima data yang sama dengan laporan kestabilan kewangan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Laporan oleh BNM itu selari dengan rekod individu yang menghadiri sesi perkhidmatan kaunseling bersama AKPK melalui Program Pengurusan Kredit (PPK).

“Peningkatan pinjaman tak berbayar itu juga kebanyakannya terdiri daripada kalangan penjawat awam dan mereka yang memperoleh gaji kurang RM5,000.

“Berdasarkan PPK yang dijalankan oleh AKPK, punca utama (40.6 peratus) terjadinya kegagalan pembayaran hutang adalah disebabkan perancangan kewangan yang lemah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan kestabilan kewangan oleh BNM yang dikeluarkan baru-baru ini mengenai kadar keberhutangan rakyat Malaysia menurun kepada 83.8 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun begitu, pertumbuhan pinjaman tidak berbayar bagi pembiayaan peribadi, pembelian hartanah kediaman dan hartanah bukan kediaman masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus, 4.4 peratus dan 20.4 peratus.

Azman berkata, selain itu kos sara hidup yang tinggi juga turut menjadi punca utama golongan terbabit gagal membayar pinjaman.

“Mereka yang mempunyai masalah gagal membayar pinjaman ini perlu meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan mereka dengan mendapatkan ilmu atau pendidikan kewangan yang bersesuaian,” katanya.

“AKPK sendiri aktif menyediakan program yang menyentuh mengenai kemahiran asas mengurus wang dan kredit berdasarkan empat tahap dalam kehidupan iaitu fasa mengikuti pendidikan pengajian tinggi, memasuki alam pekerjaan, memulakan dan membina keluarga, dan menjalani persaraan,” katanya.

Beliau berkata, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit adalah perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK secara percuma kepada individu tanpa melalui mana-mana pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 4:30 AM