MODEL nombor satu bagi kenderaan segmen B.
HM Digital

Kuala Lumpur: Honda Malaysia meraikan kejayaan model terlarisnya yang juga model nombor satu dalam segmen B, Honda City yang mencecah jualan 300,000 unit.

Honda Malaysia berkata, generasi kedua City yang dilancarkan pada 2001 terjual lebih 61,000 unit manakala City generasi ketiga membawa legasi model itu ke tahap lebih tinggi dengan lebih 85,000 unit terjual.

Generasi keempat City ketika ini pula mencatatkan jualan lebih 155,300 unit sejak dilancarkan pada 2014.

Apabila generasi keempat City yang baru dipertingkatkan dilancarkan Mac 2017, ia terus diterima dengan lebih 48,900 unit terjual sehingga Ogos 2018.

Honda Malaysia berkata, City menyumbang 30 peratus kepada keseluruhan jualannya dari Januari hingga Ogos 2018 dan mewakili 51 peratus bahagian pasaran dalam segmen B.

Dalam tempoh sama, jualan menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dengan jumlah itu, Honda Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen bukan nasional dan nombor dua dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Toichi Ishiyama berkata, sepanjang tempoh lapan bulan, varian E muncul sebagai model City paling laris dengan sumbangan jualan sebanyak 44 peratus manakala varian V 33 peratus.

“Kami gembira mencipta kejayaan melebihi jualan 300,000 unit untuk City dalam tempoh 17 tahun sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia.

“Generasi keempat City adalah model terlaris di Honda dan model ini terus menerajui segmen B. Pencapaian cemerlang ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan pelanggan kami.

“Saya ingin menghargai penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap jenama kami dan menjadikan City pilihan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 9:42 AM