Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@nstp.com.my

Kuala Lumpur

Penerokaan pertama Gamuda Land ke Singapura dilihat membuahkan hasil apabila projek Gem Residences yang terletak di Toa Payoh habis dijual lebih awal sebelum penyerahan yang dijadualkan pada akhir 2019.

Ketua Eksekutifnya Ngan Chee Meng berkata, jualan 100 peratus itu disumbangkan oleh faktor prinsip pembangunan yang kukuh dalam menghidupkan lokasi yang dipilih.

Katanya, Gamuda Land komited dalam tempat yang boleh dipanggil rumah dan menarik minat pembeli untuk menjadi sebahagian daripadanya, membesar dan menghabiskan masa tua mereka.

“Kami berjaya mendapat peluang untuk mengembangkan operasi di Singapura sejak 2015 menerusi pengambilalihan hampir 1.21 hektar tanah dengan nilai S$345.86 juta.

“Toa Payoh adalah bandar satelit pertama di Singapura sejak 1964 dan ia hanya memerlukan pemanduan selama 14 minit dari kawasan perniagaan utama.

“Ia adalah satu daripada projek asing yang amat disifatkan ‘bercita-cita tinggi’ semasa kami memasuki pasaran hartanah yang amat mencabar dan berdepan dengan persaingan sengit daripada pemaju hartanah lain di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kejayaan jualan 100 peratus Gem Residences adalah amat memuaskan hati.

“Apabila pihak lain mengambil langkah berhati-hati dan melaksanakan pendekatan tunggu dan lihat, kami mengambil langkah yang melawan arus dengan mendekati pasaran Singapura dan memberi tumpuan dalam menjayakan pembangunan kami.

“Dilancarkan pada 2016, kondominium peribadi dengan pensijilan Lambang Hijau ini mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak S$690 juta.

“Ia terletak di persimpangan Lorong 6 dan Lorong 4. Pembangunan dua blok menara itu menawarkan 578 unit kondominium dengan binaan daripada 425 hingga 2,045 kaki persegi.

“Harga jualan bermula daripada S$570,500 hingga S$2.1 juta. Gem Residences adalah kondominium pertama di Singapura yang menawarkan kelab gaya hidup,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan rekaan unik yang memuaskan di samping perancangan rekaan dan harga yang berpatutan, pihaknya yakin pembangunan berkenaan akan berjaya.

“Kami bangga kerana ia habis dijual walaupun pasaran hartanah dilanda kelembapan pada masa ini.

“Gamuda Land akan terus memainkan peranan kami dalam pasaran hartanah Singapura dan akan membawakan lebih banyak pembangunan berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 2:24 AM