ZAKARIA Arshad. FOTO arkib NSTP
Alzahrin Alias
zahrin@nstp.com.my


FGV Holdings Bhd menggantung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Zakaria Arshad berkuat kuasa hari ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Pengumuman dibuat beberapa jam selepas Zakaria menafikan spekulasi bahawa penamatannya sebagai ahli Lembaga Pengarah FGV sebelum itu adalah satu cara supaya beliau meletakkan jawatan Presiden dan CEO FGV.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, satu notis siasatan telah dikeluarkan kepada Zakaria susulan daripada berakhirnya siasatan dalaman ke atas 10 isu kritikal membabitkan syarikat.

“FGV akan meneruskan perniagaannya seperti biasa. Buat sementara, Jawatankuasa Khas 2 yang terdiri daripada empat Pengarah FGV, iaitu Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid; Datuk Dr Salmiah Ahmad; Dr Mohamed Nazeeb P Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan mengambil alih tanggungjawab melaksanakan fungsi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV.

“Pengumuman lain akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan terbaharu mengenai perkara ini,” katanya.

Kontrak Zakaria sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV akan berakhir pada Mac 2019.

Ini adalah kali kedua Zakaria digantung tugas dengan kali pertama pada 6 Jun 2017 apabila beliau digantung tugas berkuat kuasa serta-merta bersama Ketua Pegawai Kewangan kumpulannya, Ahmad Tifli Mohd Talha.

Kedua-duanya diberikan cuti bermula tarikh berkenaan sementara menunggu siasatan berhubung tawaran tertentu membabitkan anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Zakaria dilantik memegang jawatan itu di FGV, antara syarikat minyak sawit terbesar di dunia, berkuat kuasa 1 April 2016 menggantikan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang tamat kontrak pada 31 Mac 2016.

Beliau sebelum ini adalah Ketua dan Naib Presiden Kelompok Hiliran Sawit FGV sejak 2016.

Terdahulu, dalam sidang media berasingan Zakaria menafikan spekulasi penamatannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Kumpulan FGVsebagai salah satu cara supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

Beliau berkata, perkara itu sebenarnya sudah dipersetujui ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan pada 28 Jun lalu.

"Keputusan ini bermula dengan perbincangan pengurusan tertinggi termasuk saya sendiri dengan Setiausaha Syarikat mengenai kedudukan CEO dalam Lembaga Pengarah.

"Ada beberapa cadangan, ada yang bersetuju jika pengurusan diasingkan dengan lembaga pengarah dan ada juga yang membantah.

"Hasil perbincangan itu kami bawa ke AGM kumpulan Jun lalu, dan melalui resolusi mengenai perkara ini, ia diluluskan semua. Jadi perkara ini tidak menimbulkan spekulasi kerana ia turut dipersetujui oleh saya sendiri," katanya selepas pelancaran Inisiatif FGV-MPOB Menerajui Penggunaan B10 di Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 7:34 PM