Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu awal tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini ini sedang berusaha keras untuk memastikan mekanisme paling baik untuk subsidi petroleum bersasar dilaksanakan.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan pengenalan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu itu tidak akan membabitkan pelaburan yang besar.

“Kita sedang berusaha keras ketika ini bagi memastikan mekanisme paling baik. Saya harap dalam awal tahun (akan melaksanakannya),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Laporan Ekonomi Digital Malaysia, Pemacu Pertumbuhan Baharu yang dikeluarkan Bank Dunia, di sini, semalam.

Pelancaran laporan itu diadakan sempena Persidangan Dasar Awam dalam Dunia Digital yang dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan dan Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Global Bank Dunia.

Mengenai cadangan Bank Dunia untuk Malaysia mempunyai struktur cukai bagi ekonomi digital, Amiruddin berkata, kerajaan sedang meneliti perkara itu.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkajinya dan akan melaksanakannya memandangkan jika tidak berbuat demikian, negara akan kehilangan salah satu punca pendapatan.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada cukai digital itu sempat dimasukkan dalam Bajet 2019.

Beliau berkata, ekonomi digital adalah pemacu utama bagi inovasi, pertumbuhan dan pembangunan.

Katanya, bagi meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kerajaan komited dalam mengurangkan harga Internet dengan kelajuan yang lebih pantas.

“Malah, kerajaan juga memberi tumpuan dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia untuk ekonomi digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 2:59 PM