NORIZAM (dua dari kanan) melawat kilang pengeluar makanan dan minuman halal, AK Success.
Sri Ayu Kartika Amri
cnews@nstp.com.my

Subang: Unclezam Holding Berhad terus mengorak langkah apabila membuat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) terhadap AK Success Sdn Bhd sebanyak 85 peratus.

Pengasas dan Pengarah Unclezam Holding, Norizam Tukiman berkata dengan pengambilalihan terbabit pihaknya berada di landasan tepat menggabungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk proses tawaran awam permulaan (IPO).

Katanya, sebagai permulaan pihaknya akan melaksanakan M&A bersama sekurang-kurangnya 10 PKS di bawah Unclezam Holdings dengan nilai pasaran mencecah RM1 bilion.

“Kami sedang mencari lagi syarikat-syarikat berpotensi untuk bergabung yang mana akan memfokus kepada industri halal dan jika kita tidak melaksanakan M&A agak sukar syarikat persendirian untuk mencapai proses IPO.

“Unclezam Holding menjangkakan proses M&A ini akan selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi mencecah nilai pasaran RM1 bilion,” katanya kepada Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

Norizam berkata, menerusi M&A ini juga pihaknya mahu menjadi peneraju dan pemain utama atau ‘Halal Unicorn Company’ dalam industri halal.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka peluang kepada pelabur korporat dan institusi yang mempunyai keyakinan terhadap industri halal melalui terbitan dana Siri A bernilai RM5 juta yang ditutup akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan AK Success, Andy K Singam berkata, sebagai pengilang produk makanan dan minuman halal yang menerima pelbagai pensijilan dan pengiktrafan pihaknya sudah bersedia dengan M&A terbabit.

“Kami menyasarkan perolehan meningkat RM30 juta bagi 2019 selepas M&A ini.

“Syarikat juga dalam perancangan menembusi pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina dalam tempoh terdekat dan kami telah pun berada di pasaran Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:59 AM