AIRASIA Group.
HM Digital

Kuala Lumpur: AirAsia Malaysia meraih pengiktirafan melalui pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) sebagai pengendali berdaftar oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), selepas diaudit oleh IOSA.

Ia muncul syarikat penerbangan ketiga dalam Kumpulan AirAsia yang menerima akreditasi oleh IOSA, selepas AirAsia X Malaysia pada 2014 dan AirAsia Indonesia pada bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, akreditasi yang diterima oleh penanda aras keselamatan yang diiktiraf secara global ini menunjukkan komitmen syarikat untuk mengendalikan operasi yang selamat dan terjamin.

“Keselamatan adalah keutamaan dan kami akan terus berusaha untuk memastikan AirAsia mengekalkan integriti operasi di tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Keselamatan Kumpulan AirAsia, Kapten Ling Liong Tien, berkata pihaknya menyasarkan syarikat penerbangan ASEAN lain di dalam Kumpulan AirAsia untuk turut menjalani proses audit oleh IOSA pada awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:37 AM