Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah tempatan tidak akan terkesan susulan arahan kerajaan supaya warga asing yang membeli unit kediaman di Forest City tidak boleh mendapatkan visa untuk tinggal di situ.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin berpendapat, tindakan kerajaan itu hanya memberi kesan jangka pendek kepada pasaran hartanah negara memandangkan harga rumah di Malaysia secara relatifnya masih yang termurah di Asia Tenggara.

Katanya, jika dibandingkan harga kaki persegi dengan bandar di Jakarta dan Bangkok, harga rumah dalam Malaysia lebih rendah, maka permintaan untuk pasaran hartanah di negara ini di kalangan warga asing masih tetap ada.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, langkah kerajaan itu dilihat sejajar dengan negara lain seperti United Kingdom (UK) dan Indonesia yang mengenakan peraturan yang ketat untuk warga asing membeli rumah.

Pengarah Urusan CBRE WTW Foo Gee Jen, pula berpendapat, kebimbangan yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek di Johor itu ialah apabila tiada kuota dikenakan kepada pembeli asing.

Ini kerana katanya, jika tiada kuota dikenakan, maka projek hartanah itu akan menjadi seperti sebuah negara luar jika semua pembelinya adalah daripada warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 11:59 AM