DR Norayati (dua dari kanan) pada sidang media di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Hana Medic Sdn Bhd (Hana Medic) optimis portfolio perniagaan eksportnya akan menyumbang kira-kira 60 peratus kepada perolehan syarikat menjelang 2019.

Pengarah Urusannya, Dr Norayati Abd Majid berkata, setakat ini perniagaan eksportnya menyumbang sebanyak 30 peratus kepada perolehan syarikat dengan selebihnya terdiri daripada pasaran domestik.

Katanya, sejak menamatkan Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) pada 2016, pihaknya meluaskan liputan eksport ke Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, United Kingdom dan China.

“Produk utama kami, sanitiser pelembap tangan tanpa bilas kini digunakan di kebanyakan hospital, termasuk Universiti Hospital Sultan Qaboos di Oman, selain di Macao, Brunei, Myanmar dan Shenzen.

“Kami yakin dapat mengukuhkan perniagaan eksport Hana Medic, seterusnya mampu bersaing seiring dengan syarikat antarabangsa yang lain terutama dengan meneroka lebih banyak pasaran berpotensi.

“Kami menjangkakan untuk menembusi beberapa pasaran baru iaitu Indonesia, Myanmar, Australia dan Fiji menerusi pelbagai rangkaian produk kami termasuk jus buahan campuran yang baru dilancarkan,
JustGreat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:45 AM