AHMAD Najib menggalakkan penternak ayam kampung sertai Pusaka.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Seri Kembangan: Persatuan Usahawan Ayam Kampung Malaysia (Pusaka) komited menjadi pusat sehenti industri ayam kampung dan memperkenalkan prosedur standard operasi (SOP) yang bakal memajukan industri terbabit.

Pengerusinya Ahmad Najib Habeb berkata, objektif utama Pusaka ditubuhkan adalah menghimpunkan pemain industri ayam kampung di seluruh negara, sekali gus membina rangkaian perniagaan serta meningkatkan daya saing.

Katanya, ahli Pusaka akan menerima bimbingan daripada mereka yang berpengalaman.

“Setakat ini, kami mempunyai 150 ahli aktif dan menyasarkan 500 menjelang akhir tahun ini.

“Ramai berminat menceburi industri ayam kampung dan kami di Pusaka mengalu-alukan mereka yang berminat kerana pasaran ayam kampung dilihat semakin berkembang,” katanya di sini.

Menurutnya, permintaan ayam kampung semakin meningkat manakala bekalan tidak mencukupi berikutan ayam kampung mempunyai keunikan rasa, lebih sihat dan mempunyai nilai komersial tersendiri.

Ahmad Najib berkata, Pusaka adalah rangkaian lengkap yang mana skopnya lebih besar daripada segi perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada ternakan.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan latihan setiap bulan kepada orang ramai secara percuma.

“Kami menjangka Pusaka mampu menjadi pusat sehenti industri ayam kampung serta memperkenalkan SOP sendiri dalam tempoh lima tahun kerana ketika ini, ada banyak jenis ayam kampung dan harga yang dijual tidak diselaraskan.

“Kami juga mengeluarkan peralatan dan dedak ayam prebiotik sendiri yang terjamin.

“Maklumat lanjut boleh dilayari di www.ayamkampung.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 2:59 PM