WENG (belakang, empat dari kanan) pada majlis pelancaran JBIX di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Johor Bahru Internet Exchange (JBIX), penyedia perkhidmatan rangkaian Internet berlesen berhasrat untuk muncul sebagai hab serantau bagi pertukaran kandungan dan trafik untuk pasaran Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Padanan JBIX Weng Yew Wong berkata, setakat ini terdapat 12 peserta industri yang menyertai rangkaian berkenaan terdiri daripada Malaysia, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, sasaran berkenaan bertujuan untuk menyediakan peluang kepada platform padanan dan pertukaran yang cekap di rantau ini, sekali gus menarik lebih banyak pemain industri global di rantau ini.

“Apabila pemain industri menyertai JBIX, untuk tempoh 12 bulan pertama mereka tidak akan dikenakan sebarang caj bagi port yang digunakan dan caj yang lebih rendah selepas tempoh itu.

“Bagi port padanan 1Gbps hanya RM1,200 caj dikenakan manakala untuk 10Gbps pula RM4,000 iaitu lebih rendah berbanding penyedia yang lain.

“Caj yang rendah ini mampu menjadi pemangkin kepada syarikat telekomunikasi untuk menurunkan kos yang dapat dinikmati oleh para pengguna,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran JBIX di sini, semalam.

JBIX adalah platform pertukaran Internet kedua di Malaysia yang menyasarkan syarikat telekomunikasi domestik, antarabangsa dan serantau, penyedia kandungan serta penyedia perkhidmatan awan.

Platform terbabit berpusat di Johor Bahru, Johor memandangkan ia berada berdekatan dengan Singapura yang juga hab bagi penyedia kandungan di rantau ini.

Ia juga dapat menampung sehingga 200 peserta industri yang memilih untuk menggunakan platform itu khususnya syarikat teknologi kewangan, usahawan teknologi maklumat dan media sosial.

Weng berkata, Johor Bahru turut dipilih berdasarkan kepada kepadatan trafik pengguna Internet yang tinggi melaluinya menjadikannya gerbang penting bagi JBIX kepada sambungan ke seluruh dunia.

“Bagi memastikan ia mampu mencapai impak yang maksimum, pemilihan lokasi adalah penting kerana ia juga membabitkan keselamatan serta mudah untuk rangkaian dihubungkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:59 AM