AKBAR Md Thayoob
Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Industri petrokimia tempatan dijangka terus rancak dengan pengeluarannya dijangka meningkat kepada 23.1 juta tan setahun menjelang 2020 berbanding 6.3 juta tan setahun ketika ini.

Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) Akbar Md Thayoob berkata, penyumbang utama kepada pertambahan kapasiti pengeluaran itu berikutan pelaksanaan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dan pengembangan Lotte Chemical Titan di Pasir Gudang, Johor.

Beliau berkata, tambahan kapasiti menjelang 2020 itu akan dipacu oleh produk kimia asas dan derivatif serta produk khusus.

“Segmen kimia yang akan memacu pertumbuhan adalah dalam olefin, polimer dan glikol.

“Penggunaan kapasiti dijangka meningkat kepada lebih 98 peratus menjelang 2020 berbanding 95.7 peratus pada 2016,” katanya pada Persidangan Industri Petrokimia Asia 2018 (APIC 2018) yang diadakan, di sini.

Akbar berkata, eksport petrokimia dijangka meningkat sebanyak 55 peratus kepada 7.5 juta tan setahun menjelang 2020 berbanding 5.6 juta tan setahun ketika ini.

Sementara import pula, katanya, akan berkurangan sebanyak 28 peratus dalam tempoh 2016 hingga 2020.

Melangkah ke hadapan, Akbar berkata, Malaysia berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat di rantau Asia khususnya Jepun, Korea, Taiwan dan China dalam mengembangkan industri petrokimia ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, sudah tiba masa bagi negara ini untuk menjadi penyedia penyelesaian berkaitan industri petrokimia berbanding hanya menjadi peserta komoditi.

Justeru, pihaknya kini bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi untuk memperluaskan industri kimia tempatan dengan menuju ke arah penyediaan penyelesaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 9:28 AM