KAWASAN PIP yang dibangunkan JCorp di kawasan seluas 316 hektar di Pengerang.
Mahanum Abdul Aziz dan Amir Hisyam Rasid
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Taman Perindustrian Pengerang (PIP) yang dibangunkan Johor Corporation (JCorp) akan menjadi satu-satunya kawasan perindustrian berskala besar di Pengerang dan bakal menarik pelaburan kira-kira RM15 bilion.

Setakat ini, lebih 10 bakal pelabur menunjukkan minat untuk beroperasi di taman perindustrian yang menyokong Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas serta merancakkan lagi aktiviti pembangunan di kawasan Pengerang.

Malah, taman perindustrian yang dijangka mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan serta limpahan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat itu akan membantu mencapai sasaran menjadikan Johor sebagai hab minyak dan gas di rantau ini.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Eksekutif Divisyen Pembangunan Industri JCorp Zulkifli Ibrahim berkata, PIP seluas 316 hektar yang terletak bersebelahan tapak RAPID Petronas akan dibangunkan dengan ekosistem yang inklusif bagi memenuhi permintaan industri minyak dan gas terutama industri hiliran.

Beliau berkata, JCorp juga sedang merancang kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan PIP2 seluas 119 hektar.

“Kami melihat projek PIP dan PIP2 akan menyokong pembangunan RAPID Petronas serta merancakkan lagi aktiviti pembangunan di kawasan Pengerang.

“PIP akan memberi ruang kepada perusahaan hiliran minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada industri sokongan RAPID atau menghasilkan produk tambah nilai yang menggunakan output RAPID,” katanya pada sesi temu bual bersama akhbar Kumpulan NSTP, di sini.

Zulkifli berkata, JCorp menjangkakan kerja fizikal bagi PIP akan bermula Oktober ini dengan pembangunan fizikalnya akan mengambil masa 24 bulan manakala pelabur mula memasuki tapak secara berperingkat.

Beliau berkata, PIP dirangka dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air terawat, jalan raya, telekomunikasi dan sistem perparitan dan kumbahan bagi memenuhi keperluan pelabur.

Menurutnya, JCorp juga bercadang untuk menyediakan ruang bagi kemudahan jajaran paip di dalam PIP bagi urusan pengangkutan bahan mentah dan keluaran akhir.

“Terdapat juga perancangan untuk melaksanakan Pengurusan Taman di PIP yang mana akan menyediakan perkhidmatan pengawasan serta penyelenggaraan berkala di kawasan berkenaan,” katanya.

Zulkifli berkata, PIP akan dibangunkan bagi memenuhi segmen industri ringan, sederhana dan berat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:00 PM