FRANCAIS The Original Boat Noodles diasaskan Tony.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Utara 5 Food Beverage Sdn Bhd yakin untuk menawarkan format perniagaan francais bagi The Original Boat Noodle bersandarkan kepada permintaan yang tinggi terhadap restoran makanan Thailand itu.

Pengasasnya, Tony Lim berkata, program francais itu sejajar dengan pengenalan model perniagaan konsep baru yang akan diperkenalkan mulai tahun depan dengan fokus kepada bandar lapisan kedua.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya membuka cawangan baru The Original Boat Noodle di pusat beli-belah di bandar utama di seluruh negara, jadi model baru itu akan memperluaskan lagi capaiannya kepada peminat jenama ini.

“Jika sebelum ini kami membuka restoran baru di pusat beli-belah utama, jadi konsep baru ini akan dimulakan di bandar kedua seperti Taiping, Batu Pahat, Muar dan Kangar melalui pembukaan di lot kedai dan bukan lagi dalam pusat beli-belah.

“Oleh itu, sekiranya ia berjaya dan mendapat perhatian, program francais ini akan dilaksanakan seawal 2020. Sebelum ini, banyak pihak menyuarakan keinginan untuk menyertai francais The Original Boat Noodle.

“Apa yang penting, kami mahu membawakan jenama Boat Noodle ini ke lokasi baru dengan tawaran kualiti yang sama seperti di cawangan lain di seluruh negara,” katanya.

Tony berkata, pihaknya percaya saiz pasaran ideal bagi The Original Boat Noodle adalah dengan mempunyai sekitar 100 hingga 150 cawangan dalam negara.

Katanya, 2017 menyaksikan pembukaan sekitar 25 cawangan dan tahun ini pihaknya meminimumkan pelancaran cawangan baru kerana lebih menumpukan kepada meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:31 AM