HO (tengah) menghadiri pelancaran acara Arts & Lights Play, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


PELAKSAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September lalu tidak memberi jaminan harga rumah akan turun meskipun terdapat beberapa bahan binaan dikecualikan daripada rejim cukai terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang berkata, antara langkah tepat yang boleh dilakukan adalah dengan mengekalkan kadar harga sedia ada memandangkan pihaknya yakin lebih banyak pengecualian akan diberikan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, perkara itu disebabkan meskipun ada bahan binaan dikecualikan cukai namun ia hanya bahan asas kerana masih ada bahan penting lain dikenakan cukai seperti kaca, aluminium dan barangan elektrik.

“Kami percaya pengenalan semula cukai ini dijangkakan tidak menjejaskan pasaran hartanah serta tiada kenaikan harga kerana apa yang boleh dilakukan pemaju adalah mengekalkan harga sedia ada.

“Bagaimanapun, setakat ini kami tidak dapat menilai secara keseluruhannya mengenai kesan SST ini berikutan dalam sektor pembinaan rumah, ia membabitkan banyak bahan selain simen, pasir dan besi.

“Malah, ia sebenarnya berkait rapat dengan faktor penawaran dan permintaan, sekiranya ada permintaan baik, kami akan melihat kepada mewujudkan bekalan dan seterus melaksanakan produk mampu milik,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Arts & Lights Play! di sini, semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bulan lalu mengumumkan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan dikecualikan SST.

Antara bahan pembinaan tidak dikenakan SST ialah simen, pasir dan besi.

Mengulas prospek pasaran hartanah negara Ho berkata, pihaknya menyatakan keyakinan kerajaan akan menyediakan ekosistem terbaik dalam menyokong pertumbuhan aspek ekonomi ini.

“Kerajaan dilihat bakal memperkenalkan pelaksanaan dasar perumahan baru yang dijangka memulihkan kembali sentimen terhadap pasaran hartanah.

“Sebagai syarikat, kami sentiasa menyokong langkah strategik serta proaktif kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, acara Arts & Lights Play! di Boulevard Shops Southville City berlangsung pada hujung minggu bermula 9 September hingga 28 Oktober ini yang menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung.

Pihaknya menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung pada acara itu dan pada masa sama ingin menarik perhatian pembeli berpotensi bagi projek hartanahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 4:00 AM