ILUSTRASI projek yang bakal dilancar tahun depan.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


PEMAJU baru yang sedang meningkat naik, Ehsan Plant & Property Sdn Bhd merancang untuk melancarkan empat projek hartanah baru tahun depan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM1 bilion.

Projek itu masing-masing akan dibangunkan di Sungai Petani, Kedah, Mount Austin, Johor, Nilai, Negeri Sembilan dan Kampar, Perak.

Dua projek di Sungai Petani dan Mount Astin dijangka dilancarkan suku pertama tahun depan manakala, projek di Nilai pada Julai 2019 dan di Kampar September tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hamid PV Abdu berkata, untuk di Sungai Petani, syarikat akan membangunkan 535 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat dengan keluasan di antara 1,200 kaki persegi (kps)-2,200 kps membabitkan GDV RM180 juta.

Katanya, projek bernama Ehsan Heights ini dibangunkan bermula Mac tahun depan di atas tanah seluas 20.2 hektar dengan harga jualan bermula dari RM300,000 seunit.

“Bagi projek di Mount Astin, kami membangunkan tiga blok apartmen servis setinggi 16 tingkat mengandungi 650 unit dan sembilan kedai dengan GDV RM300 juta.

“Untuk projek di Nilai, kami merancang membina pembangunan bercampur membabitkan dua blok apartmen servis setinggi 30 tingkat sebanyak 498 unit dengan GDV bernilai RM140 juta.

“Projek terakhir di Kampar pula yang membabitkan GDV RM388 juta, kami bangunkan tiga blok apartmen servis yang mengandungi 900 unit kediaman dengan keluasan di antara 600-800 kps,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, syarikat ketika ini mempunyai simpanan tanah berjumlah 121.4 hektar di seluruh negara dan merancang untuk meningkatkannya sehingga 404.7 hektar dalam tempoh lima tahun ini.

Langkah itu katanya, sejajar dengan strategi untuk menyenaraikan syarikat ke Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita mahu memastikan pada setiap lima hingga 10 tahun akan datang, syarikat dapat melancarkan beberapa projek baru pada setiap tahun dengan GDV sekurang-kurangnya bernilai RM1 bilion.

“Kerana itu kita kini sedang giat mencari tanah yang berpotensi untuk dibangunkan bagi memastikan hasrat untuk disenaraikan pada 2023 dapat direalisasikan,” katanya.

Ehsan Plant & Property yang ditubuhkan pada tahun 2008 sudah membangunkan lebih 15 projek di seluruh negara sehingga kini termasuk projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:32 AM