LEO (tengah) pada sidang media selepas majlis pengumuman projek perintis TNB bagi menjayakan NCP di TNB Jasin, semalam.
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my

Jasin: Melaka dipilih Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai negeri perintis sistem rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi fiber optik di bawah projek Pelan Perhubungan Antarabangsa (NCP).

Sebagai permulaan, sebanyak 1,100 kediaman di tiga kawasan di daerah ini dipilih bagi projek perintis terbabit iaitu di Taman Merbau, Taman Maju dan FELDA Kemendor di sini.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata pemasangan infrastruktur itu akan dilakukan secara berperingkat selepas perbincangan bersama kerajaan negeri dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata, syarikat itu dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim turut diminta untuk bersama-sama mengambil peranan mempercepatkan inisiatif kerajaan berkenaan.

“Kita (TNB) akan memasang kemudahan teknologi fiber optik di 1,100 kediaman di Jasin, sekali gus membolehkan penduduk mendapat akses kepada rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi atau High Speed Broadband (HSBB),” katanya ketika merasmikan Projek Rintis TNB Bagi Menjayakan NCP di sini, semalam.

Hadir sama Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee dan Pengawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya.

Moggie berkata, projek rintis berkenaan juga akan dilaksanakan bagi menilai aspek teknikal dan keselamatan seterusnya menentukan daya komersial kemudahan infrastruktur terbabit.

“Ia juga membantu hasrat kerajaan menjayakan program NCP iaitu akses Internet yang lebih pantas, lebih murah serta lebih meluas.

“Melaluinya (projek), TNB akan meneroka potensi menggunakan aset telekomunikasi untuk program ini dan kita akan menilai keberhasilannya untuk menentukan kemungkinan pelaksanaan komersial yang lebih meluas ke seluruh negara awal tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:00 PM