OLIVIERA
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


Prai: Continental Automotive Components Malaysia Sdn Bhd sebagai penyedia teknologi dan pembekal produk komponen kenderaan di negara ini memperuntukan pelaburan RM31.5 juta untuk tujuan transformasi kilang mereka sebagai persediaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

Pengarah Urusannya Luciano Oliveira berkata, antara pembaharuan yang akan dilakukan di kilang itu ialah pembesaran ruang gudang serta pusat kajian dan pembangunan (R&D) bagi memuatkan lebih ramai jurutera yang dilengkapi pelbagai ciri peralatan dan teknologi termaju.

“Kami menjangkakan kilang pintar ini akan siap sepenuhnya pada 2020 tanpa menghentikan operasi pengeluaran sedia ada dan menawarkan peluang pekerjaan untuk lebih 150 jawatan terutama jurutera,” katanya pada majlis pecah tanah kilang Continental di sini, semalam.

Sebagai satu daripada 30 Kilang Elektronik Pusat (CEP) yang terdapat di seluruh dunia, pembaharuan kilang ini akan menjadikan sistem pengeluaran lebih fleksibel yang sentiasa terhubung dengan teknologi berasaskan robotik bagi kualiti pengeluaran yang lebih pantas dan tinggi.

Lima teras utama dalam menjadikan keseluruhan sistem itu bersedia untuk Industri 4.0 ialah daripada pendigitalan bekalan, kilang, kejuruteraan, infrastruktur teknologi maklumat dan pembangunan sumber manusia dalam mengukuhkan kedudukan pasaran mereka di negara ini.

“Continental percaya pekerja dan komuniti adalah faktor penting untuk memacu kejayaan sesebuah organisasi maka kami juga memperkenalkan Program C Drive yang melatih pelajar lepasan universiti supaya lebih ramai jurutera baru dapat dilahirkan,” katanya.

Program ini akan melengkapkan mereka dengan kemahiran Pembangunan Perisian Automotif serta pembelajaran interaktif dan berpeluang bekerja bersama pakar dalam suasana industri sebenar.

Menyasarkan 25 hingga 40 pelatih setahun, C Drive yang akan bermula Julai tahun ini bagi tempoh enam bulan dengan faedah pekerjaan yang menarik ditawarkan kepada mereka yang berpotensi.

Continental Automotive Components Malaysia yang mula beroperasi di negara ini sejak 1985 menjadi pembekal komponen untuk powertrain, casis dan kluster meter bagi pelbagai jenama kenderaan antaranya Proton dan Perodua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:30 AM