RAJA Arshad (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir melihat buku laporan kewangan 2017 pada sidang media mengumumkan prestasi Ekuinas, semalam.

Kuala Lumpur: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera di dalam syarikat di bawah portfolio pelaburannya kepada RM4.4 bilion atau 1.5 kali modal dilaburkannya pada tahun lalu.

Nilai pemegang saham melonjak kepada RM6.3 bilion atau 2.2 kali modal dilaburkan.

Pada tahun lalu juga menyaksikan Ekuinas terus merekodkan prestasi memberangsangkan dari segi operasi dengan menjana pulangan portfolio kasar RM476.7 juta bagi Dana Ekuinas Direct (Tranche I), bersamaan dengan kadar pulangan dalaman (IRR) kasar tahunan 10.1 peratus dan IRR bersih tahunan 6.5 peratus.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, Dana Ekuinas Direct (Tranche II) oleh Ekuinas mencatat pulangan portfolio kasar RM391.7 juta bersamaan IRR kasar tahunan 14.6 peratus dan IRR bersih 10.2 peratus.

Dalam pada itu, Dana Ekuinas Direct (Tranche III) mencatatkan pulangan portfolio kasar RM53.9 juta dengan IRR kasar tahunan sebanyak 10.7 peratus.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pencapaian setakat ini menunjukkan model ekuiti persendirian (PE) unik Ekuinas merangsang perniagaan tempatan dan menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata, pada tahun lalu, bilangan pelaburan langsung dan penyumberan luar meningkat kepada 58 berbanding 53 tahun sebelumnya dengan jumlah pelaburan komited RM3.6 bilion berbanding RM3.0 bilion pada 2016.

“Ekuinas menjana kesan positif bagi ekonomi Malaysia secara umumnya, dengan pelaburan ekonomi keseluruhan berjumlah RM4.3 bilion bersama rakan kongsi sektor swasta,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi Ekuinas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:55 AM