Patrick (kiri) bersama Pengarah Urusan VVM, Orson Teow menandatangani perjanjian persefahaman di Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Aplikasi mudah alih bantuan penjagaan kereta, Maxx ‘N Go menyasar untuk mengembangkan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara menjelang Ogos depan.

Maxx ‘N Go adalah aplikasi yang membantu pengguna menguruskan pertukaran minyak enjin dan servis kereta di mana saja mengikut kesesuaian masa pelanggannya.

Ketua Eksekutif Maxx ‘N Go, Patrick Tam berkata, pada masa ini tumpuan pihaknya lebih terarah di kawasan sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru kerana permintaan bagi perkhidmatannya agak tinggi.

“Kami akan mengembangkan perkhidmatan ini di negeri lain di Semenanjung Malaysia secara berperingkat dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak.

“Kami juga meningkatkan lagi portfolio perkhidmatan ditawarkan di samping menambah jumlah muat turun aplikasi Maxx ‘N Go bagi mendapat jangkauan pengguna lebih banyak,” katanya di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Vision Ventures Management Berhad (VVM), di sini.

MoU berkenaan dimeterai bertujuan membuka jalan bagi lebih banyak kerjasama dalam peluang perniagaan baru.

Hadir sama, Ketua Teknikal Maxx ‘N Go, Tengku Djan Ley, Ketua Operasinya, Alan Tam dan juga Duta Media yang baru dilantik, Auguste Kwan.

Dalam majlis yang sama, syarikat berkenaan turut melancarkan dua produk baru iaitu Maxx Hero Roadside Assistance (MHRA) dan keahlian Maxx Saver bagi meningkatkan pegangan pasaran mereka.

Menurut Tengku Djan, Maxx ‘N Go mereka pelan pelaksanaan bagi mengekalkan kadar kepuasan penguna yang tinggi terhadap jenamanya.

“Kami percaya dengan aspek kepuasan pengguna apabila ia menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan menguntungkan pada tahun ini,” katanya.

Misi Maxx ‘N Go untuk menyediakan penyelesaian pintar dan keselesaan maksimum kepada semua pemilik kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:06 AM