AL Fazirul pastikan NCSB tambah jangkauan ke seluruh negara.
Nurhayati Abllah
nurhayatiabllah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Naza Communications Sdn Bhd (NCSB), penyedia prasarana telekomunikasi bersepadu di Malaysia menyasarkan pembinaan 300 hingga 600 menara dalam tempoh dua tahun tahun ini dengan mengoptimumkan pelaburan serta memaksimumkan pengeluaran pada masa depan.

Bagi tahun ini saja, penyedia prasarana telekomunikasi bersepadu di Malaysia itu menyasarkan pembinaan 300 menara dalam komitmennya untuk memperluaskan jangkauan telekomunikasi di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Al Fazirul David Abdullah berkata, sasaran NCSB adalah menjangkau ke arah teknologi baru dan lebih berkesan.

“Pada masa ini, struktur dan perancangan sedia ada di Malaysia sudah mencukupi untuk menampung keperluan bagi rangkaian 3G dan 4G.

“Bagaimanapun, ke arah kemajuan masa depan contohnya keperluan bagi rangkaian 5G, analitik Data Besar dan Internet Kebendaan (IoT), akan memerlukan rangkaian lebih canggih.

“Justeru, NCSB berusaha untuk menambah lebih jangkauan dan bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan,” katanya dalam temu bual di Kuala Lumpur.

Al Fazirul berkata, setakat ini, NCSB sudah bekerjasama dengan K Perak Inc Corporation (KPerak) untuk membina 150 menara di Perak dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sasaran 100 menara tahun ini.

“Projek berkenaan bagi meningkatkan keupayaan jangkauan rangkaian telekomunikasi sama ada di kawasan bandar dan luar bandar di Perak serta kawasan di Lembah Klang.

“Baki sasaran pembinaan menara yang selebihnya adalah di beberapa lokasi lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, NCSB juga kini sedang meneroka peluang baru dalam pembinaan kombinasi menara di negara ini.

“Pertumbuhan untuk industri telekomunikasi sedia berkembang sejak lima, enam tahun lalu. Trend perkembangan jangkauan rangkaian juga semakin meningkat dan menunjukkan permintaan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:03 AM