FOO (kiri) pada sidang akhbar Persidangan Keselamatan & Kesihatan Tahunan MBAM di Sunway Resort Hotel.
Amir Hisyam Rasid
amir.hisyam@mediaprima.com.my


Petaling Jaya: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menjangkakan komunikasi dua hala lebih baik antara syarikat pembinaan dan kerajaan baru dalam menyelesaikan isu dihadapi pemain industri terutama kontraktor bersaiz kecil.

Presidennya, Foo Chek Lee berkata, persatuan akan menyerahkan senarai isu terbabit temasuk keperluan pembiayaan levi bagi perhatian kerajaan untuk membantu kontraktor terbabit mendapat aliran tunai lebih baik.

“Kami ingin mencadangkan kepada kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir untuk mengkaji semula bayaran levi itu dan berharap kelonggaran boleh diberikan dalam bentuk pembayaran enam bulan atau setengah tahun bayaran kepada kontraktor kerana mereka kini perlu membayar secara penuh,” katanya selepas Dialog Gabungan MBAM 2018 di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat juga isu dalam aspek mengesahkan pekerja asing kerana proses mendapatkan permit kerja agak rumit.

“Ia perlu dipermudahkan dan tempoh pemprosesan perlu disingkatkan supaya semua pendatang tanpa izin di negara ini dapat disahkan dengan cepat, sekali gus menjadi perkara baik kepada kerajaan dan keselamatan negara,” katanya.

Mengulas pelaburan syarikat luar, MBAM menyokong penuh projek seperti inisiatif One Belt Road namun menegaskan kerajaan perlu memastikan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus sumber diberi kepada syarikat tempatan.

“Apa yang dikatakan dan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebagai contoh, kerja yang patut diberikan kepada syarikat tempatan oleh sebuah syarikat asing yang mendapat kontrak di Malaysia dipindahkan kepada syarikat lain yang ditubuhkan oleh syarikat asing.

“Akhirnya, keseluruhan kerja diserap ke syarikat tempatan yang ditubuhkan syarikat asing manakala syarikat Malaysia tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Foo turut menggesa supaya kerajaan mengehadkan import jentera berat kerana ia boleh didapati melalui pasaran di negara ini di mana kemasukan jentera berat asing di negara ini akan membunuh pembekal jentera tempatan.

Sementara itu, MBAM mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketujuh dan menggesa pembentukan kerajaan mesra perniagaan baru.

“Diharapkan perubahan ini akan membawa kepada pertumbuhan berterusan bagi industri pembinaan dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:28 AM