Muhammad Syahrul (dua dari kiri) pada majlis perasmian Pusat 3S Royal Enfield di Shah Alam.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Shah Alam: RE Motorcycles Sdn Bhd pengedar eksklusif motosikal Royal Enfield di Malaysia menyasarkan untuk menjual 500 unit tahun ini dengan pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) pertama di negara ini.

Pengurus Besarnya Muhammad Syahrul Abdullah berkata, motosikal segmen klasik yang mula dihasilkan sejak 1901 itu menawarkan enjin dan kerangka tahan lasak sesuai untuk pelbagai tujuan tunggangan.

“Royal Enfield menyediakan motosikal untuk keperluan semua golongan daripada segmen touring, adventure dan café racer dengan keupayaan serba guna serta kepuasan menunggang secara santai,” katanya di sini.

Ruang pameran berkeluasan lebih 700 meter persegi itu untuk pengalaman selesa dan premium kepada pelanggan termasuk tawaran barangan gaya hidup serta pakaian dan aksesori tunggangan bergaya.

Syahrul berkata, model Himalayan berkonsepkan enduro akan dilancarkan pada bulan hadapan bagi melengkapi keseluruhan varian yang dipasarkan di negara ini serta bakal menambah dua pengedar setiap negeri dalam tempoh tiga tahun.

“Kami mengenal pasti pengedar yang layak untuk menawarkan jualan dan servis terbaik dalam meluaskan jenama ini ke seluruh Malaysia,” katanya.

Motosikal Royal Enfield berasal dari United Kingdom kini di bawah pemilikan Eicher Motors Limited (Eichermot), India terjual melebih 660,000 unit di seluruh dunia sepanjang 2016 hingga tahun lalu di lebih 50 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 10:28 AM