MENTERI Pertahanan dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menaiki kenderaan Weststar Rapid Ranger di MITEC.
Ayisy Yusof
ayisy@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Weststar Defence Industries Sdn Bhd (Weststar Defence), anak syarikat milik Kumpulan Weststar bakal membida lebih banyak projek berkaitan pertahanan tentera udara tempatan, kenderaan ketenteraan serta bekalan bagi helikopter tentera dan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arsad Abd Salam berkata, syarikatnya komited untuk mendapatkan lebih banyak projek baru bukan saja daripada pihak kerajaan Malaysia, malah ia turut meliputi dari negara luar untuk segmen pertahanan itu.

“Buat masa ini, perniagaan utama kami adalah daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mana syarikat membekalkan trak tentera serta kenderaan bagi kumpulan pertahanan itu.

“Kami juga berminat untuk mengembangkan perniagaan sedia ada antaranya termasuklah kepada pertahanan tentera udara dan laut serta keperluan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya kepada Bisnes NSTP, di sini.

Sejak penubuhannya pada 2007, Weststar Defence memperoleh lebih RM2 bilion kontrak kerajaan termasuklah bekalan kenderaan tentera, sistem pertahanan tentera udara, kenderaan khusus dan keselamatan serta kenderaan komersial.

Menurutnya, setakat ini, bagi segmen pertahanan, pihaknya mempunyai 300 kakitangan bagi setiap peringkat termasuklah pengurusan, kakitangan sokongan, jurutera, pereka dan juruteknik.

“Kami juga menggunakan sinergi daripada sumber yang dimiliki oleh Kumpulan yang mana Kumpulan Weststar mempunyai lebih daripada 2,000 pekerja,” katanya.

Antara pelanggan tetap syarikat itu bagi sistem pertahanan adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi penguatkuasaan kerajaan seperti MMEA.

Arsad berkata, usaha syarikat dalam mempelbagaikan perniagaan ke cabang baru mampu menawarkan peluang meskipun berada dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:14 AM