PROJEK kediaman hartanah, Athira yang dilancarkan Sime Darby Property.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) melancarkan projek pembangunan kediaman terbarunya, Athira yang terletak di Bandar Bukit Raja, merangkumi perbandaran bersepadu dan serba lengkap di Klang dengan harga bermula dari RM753,888.

Pengurus Besar Sime Darby Property Mohd Idris Abdullah berkata, Bandar Bukit Raja dihubungkan ke lokasi utama seperti Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Persekutuan.

Katanya, perbandaran itu turut mempunyai akses Pelabuhan Klang serta lapangan terbang seperti yang berada di Subang Skypark, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

“Rangkaian pengangkutan awam juga dapat diakses merangkumi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), perkhidmatan KTM Komuter dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa akan datang.

“Athira adalah pembangunan pegangan bebas seluas 7.37 hektar yang terdiri daripada 166 kediaman dua tingkat dengan kawasan terbina yang luas bermula dari 2,191 kaki persegi.

“Menawarkan pemilikan mudah dengan pakej pelancaran menarik, fasa pertama 95 kediaman pelbagai generasi akan mula dijual mulai hari ini,” katanya.

Perbandaran itu juga mempunyai beberapa pasar raya besar dan pusat beli-belah di sekitarnya seperti AEON Bukit Raja, Klang Parade, Giant Klang Sentral, Tesco Setia Alam, Setia City Mall, dan Lulu Hypermarket yang bakal dibuka.

Selain itu, terdapat juga kemudahan bagi kesihatan, iaitu Hospital Columbia Asia dan hospital besar yang bakal dibuka akan terus menjadikan Bandar Bukit Raja sebagai perbandaran bersepadu dan lengkap.

Mohd Idris berkata, Athira menawarkan kediaman pelbagai generasi direka khas untuk memenuhi keperluan mereka yang lanjut usia, remaja dan kanak-kanak di bawah satu bumbung.

“Kediamannya menyediakan bilik tidur dan bilik mandi tetamu di aras bawah yang mesra kerusi roda dan boleh disesuaikan bagi keperluan khusus untuk ahli keluarga yang berusia atau kurang upaya,” katanya.

Antara kelebihan lain perbandaran ini, ia bakal dihubungkan secara terus ke Lebuhraya Pantai Barat (WCE) melalui persimpangan Meru dan Kapar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:16 AM