AADRIN (tengah) dan Abang Jimmy Abang Mordian (dua kiri) bersama Nabil (kiri) serta Awal Ashaari dan Scha Alyahya pada pelancaran kempen Mesra Bonanza di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Owee Ah Chun
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) buat pertama kali memperkenalkan kempen terbesarnya di seluruh negara, Mesra Bonanza sekali gus menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM3.5 juta.

Ketua Perniagaan Runcitnya Aadrin Azly berkata, kempen bermula dari 16 April hingga 31 Disember tahun ini memberi peluang kepada lebih 1,600 pemenang untuk membawa pulang wang tunai, mata ganjaran Mesra, pakej percutian, gajet dan motosikal.

Katanya, kempen itu menyediakan sebanyak 165 hadiah setiap bulan, dan 44 hadiah utama bagi setiap dua bulan.

“Antara hadiah utama Mesra Bonanza adalah pakej percutian penuh menyaksikan perlumbaan Formula One (F1), wang tunai RM50,000, pakej percutian ke New Zealand, Jepun, Korea, Hong Kong, pakej umrah, motosikal dan televisyen pintar Samsung.

“Hadiah bulanan pula ialah telefon pintar Samsung S9, kamera aksi GoPro Hero6 Black, set mainan Lego Speed Champion, baucer beli-belah bernilai RM500 di Lazada dan Watsons serta mata ganjaran Mesra bernilai RM1,000.

“Bagi merebut hadiah istimewa ini, pelanggan perlu berbelanja RM30 dalam satu resit bagi petrol dan diesel termasuk barang di Kedai Mesra,” katanya pada majlis pelancaran Mesra Bonanza di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Runcit PDB Abang Jimmy Abang Mordian dan Duta Petronas Mesra Bonanza Nabil Ahmad.

Turut hadir, selebriti jemputan Awal Ashaari dan isteri Scha Alyahya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:39 PM