Zarina Zakariah
zarinaz@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Bank Dunia menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelum ini, disokong perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Turut dijangkakan adalah negara dalam landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024.

Semakan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini terbaru itu adalah yang ketiga dibuat badan kewangan antarabangsa itu.

Kali pertama semakan menaik dibuat adalah pada Oktober tahun lalu iaitu kepada 5.0 peratus daripada 4.5 peratus dan semakan kedua adalah pada Disember iaitu kepada 5.2 peratus.

Institusi yang berpangkalan di Washington itu turut menyemak naik unjuran ekonomi negara pada tahun depan kepada 5.1 peratus daripada 4.8 peratus yang dibuat pada Oktober tahun lalu.

Bank Dunia dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik yang dikeluarkannya semalam berkata, ekonomi Malaysia pada tahun lalu mengalami pertumbuhan pesat dengan mencatat pertumbuhan 5.9 peratus disokong oleh faktor domestik dan luaran yang menggalakkan.

“Pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam masa terdekat, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi 5.4 peratus pada tahun ini, disokong pengukuhan penggunaan swasta yang berterusan .

“Dengan penurunan pelaburan awam, yang mana sudah dijangkakan, pembentukan modal tetap kasar akan didorong terutama oleh pengembangan perbelanjaan modal sektor swasta, yang mana dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek infrastruktur dan pelaburan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Pengukuhan prestasi eksport Malaysia dijangka berterusan ke separuh pertama 2018, sejajar dengan peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar lebih rendah daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:41 AM