SYED Mahadzir (tengah), Adrian (kiri) dan Azatul Izan pada pelancaran perencah mee goreng, semalam.
Osman Lisut
manlee@bh.com.my

Rawang: ADABI Consumer Industries (Adabi) menyasarkan pendapatan RM648 juta tahun ini, naik 20 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Mahadzir Datuk Syed Manshor berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran berkenaan memandangkan sambutan menggalakkan terhadap lebih 100 produk jenama itu di pasaran.

“Pendapatan Adabi tahun lalu ialah RM540 juta meliputi produk berasaskan rempah-ratus, pes perencah masakan, makanan dalam tin dan produk lain yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ditambah pula dengan produk baru Adabi iaitu perencah mi goreng ini, saya yakin sasaran ini boleh dicapai,” katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan di premis Adabi di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Adabi Adrian Roslan dan Pengurus Produk Adabi Azatul Izan Mohamed Nordin.

Syed Mahadzir berkata, dengan cogan kata Mudah, Cepat dan Sedap, perencah ini memudahkan pengguna menikmati hidangan bergoreng dengan mencampurkannya di dalam masakan.

“Kami memilih mi goreng kerana sajian kegemaran rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan umur. Ia boleh dinikmati bila-bila masa sama ada sarapan, minum petang atau makan malam.

“Idea mengeluarkan produk ini timbul selepas kajian ke atas tukang masak restoran dan gerai mendakwa sukar mendapatkan pes yang sesuai bagi mi goreng ala masakan Melayu.

“Untuk memasaknya, kita hanya perlu mencampurkan bahan kegemaran seperti kek ikan, udang, sotong atau ayam dan tumiskan perencah diikuti mi kuning bersama sayur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 9:06 AM