AZMAN Mahmud
Sofyan Rizal Ishak dan Nora Mahpar
bisnes@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 20,000 jawatan kosong dalam sektor pengangkutan rel ditawarkan sempena Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan Mengenai Projek Rel (PRBK) dan Pesta Kerjaya 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, acara itu memberi peluang orang ramai menghadiri sesi temu duga terbuka dikendalikan pelbagai syarikat sepanjang dua hari penganjurannya.

“100 syarikat daripada pelbagai industri menyertai acara ini khususnya dari industri rel yang menawarkan jawatan pelbagai peringkat untuk projek yang sedang dijalankan atau dalam perancangan,” katanya pada majlis pembukaan persidangan berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Antara syarikat yang menyertai Pesta Kerjaya 2018 ini adalah Scomi Engineering, CMC Group, Emrail Sdn Bhd, HSS Integrated Sdn Bhd, Sapura Holding Sdn Bhd dan Artic Rail Sdn Bhd.

Pesta Kerjaya ini yang berlangsung sehingga hari ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menyasarkan penyertaan dalam kalangan graduan dalam industri berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, kepakaran rakyat Malaysia dalam industri rel semakin diperakui negara serantau apabila kemampuan teknologi dan tenaga kerja tempatan terus mendapat perhatian negara jiran seperti Filipina, Vietnam dan Thailand.

Menurutnya, walaupun Malaysia agak lewat membangunkan industri rel, namun kejayaan yang dikecapi negara dalam sistem pengangkutan rel awam ketika ini membuktikan Malaysia berupaya menandingi negara pelopor seperti Singapura dan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 8:53 AM