Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli (tiga dari kanan) dan Huray (tiga dari kiri) bersama pemenang kempen Trade & Win, Lee (dua dari kiri) dan Ee (dua dari kanan).
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: RHB Investment Bank Berhad (RHB Investment Bank) menjana pendapatan kasar RM218 juta melalui lebih 11.5 juta penyertaan bagi kempen Trade & Win 2.0 yang berlangsung 1 Mac 2017 hingga 28 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburannya Robert Huray berkata, kempen yang dianjurkan kali kedua itu bertujuan memacu penyertaan pelanggan runcit dalam pasaran modal dan menggalakkan aktiviti pelaburan.

“Kami gembira dengan keputusan yang dicatatkan melalui kempen ini dan ia dianjurkan pada masa tepat dengan situasi pasaran modal yang baik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lalu,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kempen Trade & Win 2.0 di sini, semalam.

Kempen itu menyaksikan Lee Joo Li dan Ee Han Sin diumumkan pemenang hadiah utama dan masing-masing menerima Honda BR-V.

Beliau berkata, kempen itu menyaksikan pelanggan RHB Investment Bank sedia ada kembali melakukan aktiviti pelaburan dengan lebih 38,000 akaun diaktifkan kembali dan menarik penyertaan 25,000 hingga 30,000 pelanggan baru.

“Kempen Trade & Win ini memacu peningkatan penyertaan runcit di Bursa Malaysia dibantu melalui peningkatan aktiviti pelabur baru,” katanya.

Sepanjang tempoh kempen itu, penyertaan runcit RHB Investment Bank menyumbang kepada peningkatan perolehan Bursa Malaysia kepada 4.8 peratus tahun lalu berbanding 4.2 peratus tahun sebelumnya.

Sementara itu, penyertaan pelabur runcit tempatan di pasaran modal dijangka lebih baik menjelang separuh kedua 2018 berikutan persekitaran tidak menentu membabitkan situasi perdagangan Amerika Syarikat dan China serta Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan RHB dan Ketua Penyelidikan Malaysia Alex Chia berkata, pasaran modal tempatan berada pada situasi tidak menentu pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini namun penyertaan pelabur runcit masih baik dan mencatatkan permintaan menggalakkan.

“Apa paling menarik, penyertaan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan sehingga 25 peratus pada Januari 2018 berbanding Disember 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:00 AM