SYED Zainal Abidin (dua dari kiri) melepaskan peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Thailand, semalam.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Minyak enjin motosikal Sprinta dengan formulasi Ultraflex yang dilancarkan Petronas tahun lalu menerima sambutan positif di pasaran tempatan apabila merekodkan jualan 50 peratus lebih tinggi berbanding 2016.

Naib Presiden Pemasaran Hilirannya Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, pelancaran global minyak enjin Petronas Sprinta Ultraflex di Mumbai, India tahun lalu menawarkan teknologi formulasi unik bagi mengurangkan kesan geseran pada enjin serta melancarkan perjalanan berterusan.

“Minyak enjin ini dibangunkan di Pusat Teknologi dan Penyelidikan Global Petronas di Turin, Itali yang berpengalaman lebih 100 tahun dalam menghasilkan minyak dan bahan api bermutu tinggi,” katanya di Stesen Petronas Taman Teknologi Malaysia, semalam.

Melalui Ultraflex, ia mampu mengurangkan enapan sehingga 55 peratus dan memberi perlindungan enjin 41 peratus lebih tinggi berbanding minyak enjin biasa.

Terdahulu, Zainal melepaskan konvoi motosikal berkuasa tinggi Petronas Sprinta dengan Ultraflex Experience to Believe ke Thailand sempena acara motosikal terbesar di Asia, Phuket Bike Week 2018 yang bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:58 AM