Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan imejnya tahun ini dan membetulkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan syarikat perladangan itu.

Dengan barisan pengurusan baru, kemelut pengurusan yang dihadapi tahun lalu selesai dan membolehkan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia itu menumpukan strateginya bagi memantapkan operasi dan membawa syarikat ke peringkat yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata, beliau kini lebih selesa untuk bekerja bersama dengan barisan pengurusan baru yang mempunyai pengalaman dan kepakaran yang tinggi dalam bidang masing-masing.

Malah, katanya dengan barisan ahli Lembaga Pengarah yang profesional dan berpengetahuan tinggi dalam bidang masing-masing juga membantunya dalam membuat keputusan dengan pandangan yang diberikan.

Beliau juga menegaskan, keputusan kini dibuat secara kolektif yang mana ia dibincangkan dalam exco bagi mengelak sebarang tohmahan.

“Sekarang lebih senang. Hubungan saya dengan Pengerusi (Datuk Azhar Abdul Hamid) lebih baik, selalu berbincang dan beliau terbuka serta fokus, sekali gus menjadikan saya senang bekerja dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual ekslusif bersama Media Prima Bhd di sini, Khamis lalu.

Sementara itu, beliau berkata, FGV kini mencatatkan prestasi yang dikategorikan sebagai ‘lampu hijau’ apabila 80 peratus perkara yang dirancang berjaya dicapai.

Zakaria berkata, pihaknya memakai sistem lampu trafik hijau, merah dan kuning untuk mengukur prestasi apa yang dirancangkan.

“Setakat ini, hampir 80 peratus adalah lampu hijau (apa yang dirancangkan),” katanya.

Menurutnya, FGV komited melaksanakan usaha memaksimumkan aset perniagaannya bagi meraih pulangan yang lebih baik.

Beliau berkata, tumpuan diberikan untuk melonjakkan ketiga-tiga perniagaan utamanya iaitu perladangan, gula serta logistik dan lain-lain dengan lebih 100 inisiatif dilaksanakan dan dipantau secara rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 9:51 AM