PENGERUSI PHB, Tan Sri Md Nor Yusof (dua dari kanan) melihat katil elektronik untuk warga emas sambil diperhatikan Izzaddin (dua dari kiri) dan Kamalul (kiri) di Jalan Ampang, semalam.
Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), UEM Group Bhd dan Medical Care Service Inc (MCS) menjalin kerjasama untuk membangunkan Rei Seraya Residence, projek unik dan mewah pertama di Malaysia khusus untuk kehidupan warga emas.

Terletak di Jalan Ampang bersebelahan Hospital Gleneagles di sini, pembangunan yang menawarkan konsep sewa itu turut disertakan dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang direka untuk manfaat golongan berkenaan.

Pengarah Urusan yang juga Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB Datuk Kamalul Arifin berkata, menjelang 2020, 10 peratus penduduk negara ini akan mencapai umur melebihi 60 tahun manakala menjelang 2030, ia meningkat kepada 15 peratus.

“Realiti demografi ini pastinya memberi implikasi ekonomi dan sosial yang mendalam serta kebimbangan terhadap penjagaan kesihatan golongan warga emas.

“Ini memberi peluang kepada kami untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas bertaraf dunia di Kuala Lumpur, setanding perkhidmatan yang terdapat di negara maju,” katanya berucap merasmikan Rei Seraya Residence Dicovery Gallery di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Datuk Izzaddin Idris dan Naib Presiden Pengarah Bahagian Pengurusan Luar Negara MCS Grace Wang.

Rei Seraya direka bentuk oleh arkitek terkemuka Australia yang mempunyai kepakaran dalam kehidupan warga emas dan dikendalikan MCS, penyedia perkhidmatan penjagaan terkemuka di Jepun dengan lebih 15 tahun pengalaman.

Menawarkan perkhidmatan eksklusif untuk komuniti warga emas yang bersara, Rei Seraya adalah penjagaan mewah pertama seumpamanya ditawarkan buat golongan berkenaan dengan dua jenis pilihan perkhidmatan iaitu Assisted Living dan Independent Living.

Sementara itu, Izzadin berkata, pembukaan Discovery Gallery itu untuk membolehkan pasaran memahami produk dan perkhidmatan ditawarkan memandangkan ia adalah konsep baru di negara ini.

“Harga bagi setiap unit akan dimaklumkan akhir tahun ini selepas kami selesai menjalankan kaji selidik dan memperhalusi perkhidmatan tambahan yang diperlukan berdasarkan kehendak setempat,” katanya.

Projek di atas tanah seluas 0.6 hektar itu dijangka siap pada 2021 dan mula beroperasi pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 7:09 AM