ORANG ramai yang mengunjungi tapak di Pameran Hartanah My Rumah di SACC Mall, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Nurhayati Abllah; Nasuha Badrul Huzaini; Sofyan Rizal Ishak; Khairul Ashraf Kammed dan Norzamira Che Noh

KUMPULAN akhbar terbesar Malaysia, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) merancang untuk mengembangkan sektor hartanah sebagai satu daripada perniagaan bukan teras menerusi platform penganjuran pameran hartanahnya, MyRumah.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, pada masa ini, pameran MyRumah adalah sebahagian daripada ekosistem hartanah NSTP.

"Kita bukan hanya mengharapkan pendapatan daripada penganjuran pameran ini tetapi pada masa memperoleh hasil daripada produk pengiklanan membabitkan hartanah.

"Ia boleh dibuat sama ada menerusi pengiklanan langsung dan tidak langsung serta pengiklanan digital yang ditawarkan kumpulan kami," katanya selepas merasmikan Pameran Hartanah MyRumah 2018, di SACC Mall di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CJ Wow Shop, Kim Yang Hyun; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Talib; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu dan Pengurus Besar Agensi dan Pengiklanan PKS NSTP, Roche Chew.

Abdul Jalil berkata, menerusi percetakan pula, NSTP juga sudah menawarkan segmen atau sisipan hartanah dalam akhbar iaitu "Hartanah (BH)" dan "Property Times" (NST) selain Harian Metro yang turut menyiarkan artikel mengenai segmen berkenaan.

"Oleh itu, saya melihat lebih banyak manfaat daripada sisipan hartanah itu untuk menjadikan ekosistem hartanah kami menjadi lebih besar dan meluas.

"Menerusi produk sedia ada, kami berupaya mempromosikan lebih banyak aktiviti mengenai sektor hartanah yang bukan hanya membabitkan kediaman tetapi juga segmen lain seperti kelengkapan rumah, hiasan dalaman, teknologi hijau, kitar semula dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat juga ingin menjadikan acara ini sebagai satu platform pilihan untuk perundingan hartanah, yang mana pembeli rumah sedia ada dan bakal pembeli boleh datang untuk mendapatkan nasihat pakar daripada pemaju dan pakar hartanah.

“Sebagai platform ‘semua dalam satu’ pengguna akan mendapat pilihan yang lebih baik dan boleh membuat keputusan yang tepat untuk membeli dan memiliki rumah impian mereka sementara pemaju boleh memaparkan produk, perkhidmatan dan tawaran yang berkualiti,” katanya.

MyRumah memasuki penganjuran tahun ketiga tahun ini dan ia diadakan selama tiga hari berakhir Ahad ini.

Selepas Shah Alam, siri penganjuran seterusnya untuk tahun ini ialah Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka.

Empat pemaju hartanah tempatan yang mengambil bahagian terdiri daripada Sunsuria Bhd, Aset Kayamas Sdn Bhd, Magna Prima Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

Manakala, bukan pemaju yang turut serta ialah Amanah Raya, Bank Muamalat, Takaful Ikhlas, CJ Wow Shop dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara penceramah dan pakar hartanah terkenal yang akan mengadakan perbincangan sepanjang acara berkenaan adalah Ahyat Ishak, Datuk Nazri Mustafa, Akmal Nazim, Bella Leana, Amin Harith dan Amsyari Syakur dari Pejuang Hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:35 PM