POH (kiri) bersama Pengarah Eksekutif AEON Hiroyuki Kotera menunjukkan promosi kempen di Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: AEON Co M Berhad (AEON) melancarkan kempen terbesarnya tahun ini menerusi Promosi 2018 AEON sekali gus menyasarkan peningkatan jualan antara 10 dan 20 peratus sepanjang kempen berlangsung.

Pengarah Eksekutifnya Poh Ying Loo berkata, Promosi 2018 itu bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta ahli AEON di seluruh negara mendapatkan produk pilihan mereka pada harga yang berbaloi.

Katanya, sempena Promosi 2018, AEON memperkenalkan dua kempen utama iaitu Hari AEON dan Hari Terima Kasih.

“Hari AEON akan berlangsung pada setiap 8 dan 28 hari bulan di semua pasar raya AEON dan cawangan AEON Wellness, MaxValu serta Maxvalu Prime.

“Kami peka dengan keperluan pengguna dan dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Justeru itu, AEON tampil menawarkan penjimatan kepada pelanggan,” katanya selepas melancarkan Promosi 2018 AEON di sini, semalam.

Ahli AEON boleh menikmati baucar tunai RM5 bagi setiap pembelian bernilai RM100 di Pasar Raya AEON dan AEON Wellness, manakala, baucar RM3 untuk setiap pembelian bernilai RM60 di rangkaian MaxValu dan MaxValu Prime.

Poh berkata, bagi perancangan sepanjang 2018, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM400 juta.

“Menerusi capex itu kami akan membuka cawangan baru serta menambah baik rangkaian AEON di seluruh negara. “Tahun ini kami akan meneroka pasaran Sabah dan Sarawak serta menjangkakan untuk membuka cawangan baru di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya peka dan berusaha memberi pengalaman membeli-belah yang terbaik dan keselesaan kepada pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:52 AM